Home Nasional Tuduh KPN menipu: Lokman Adam sedia ditahan Bukit Aman

Tuduh KPN menipu: Lokman Adam sedia ditahan Bukit Aman

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam semasa hadir untuk memberi keterangan terhadap kenyataannya terhadap Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador mengenai isu kes video Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Noor Adam hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada polis kira-kira pukul 10.15 pagi.

Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat itu berkata, beliau dipanggil untuk dirakam keterangan kerana menuduh Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador menipu hasil laporan forensik siasatan kes membabitkan video intim yang mengaitkan Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang menteri Kabinet.

“Saya akan memberikan keterangan kepada polis pagi ini dan keterangan saya biasanya berakhir dengan penahanan saya kerana saya dakwa IGP (Ketua Polis Negara) menipu dan saya sudah datang dengan siap hadapi apa jua kemungkinan itu.

“Itulah sebabnya dia (Abdul Hamid Bador) membuat laporan polis ke atas saya dan ini kali pertama seorang IGP buat laporan polis,” katanya di pekarangan pintu masuk Bukit Aman pagi ini.

Semalam menerusi laman Facebooknya, Lokman yang Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut memuat naik mesej bahawa dia akan memberikan keterangan kepada polis pada hari ini di Ibu pejabat Polis Bukit Aman.

Mengulas lanjut, Lokman mengulangi pendiriannya bahawa Abdul Hamid menipu dan melindungi serta tidak layak menjadi Ketua Polis Negara.

Malah Lokman secara terang-terangan meminta Abdul Hamid melepaskan jawatan dengan segera.

“Pertama beliau tidak bercakap benar mengenai forensik CyberSecurity dan ada dua kemungkinan penipuan berlaku iaitu pertama dapatan CyberSecurity mengatakan video itu tulen dan kalau diminta kenalpasti video itu sudah pasti CyberSecurity akan kata itu Azmin.

“Tapi polis perlu bekalkan gambar-gambar Azmin untuk mengesahkan sepadanan. Kedua mungkin ada bekalkan dan telah dimaklumkan bahawa gambar itu 93 peratus tulen tetapi ianya bukan 100 peratus Azmin.

“Ada dua kemugkinan dua penipuan dilakukan IGP iaitu mungkin beliau telah sembunyikan hasil dapatan contohnya DNA dari tilam,” dakwanya lagi.

Menurutnya, sampel DNA boleh diperolehi dengan mudah daripada tilam yang digunakan kedua-dua individu itu di bilik hotel berkenaan selain boleh diekstrak dari bantal, bulu roma, peluh dan rambut pelaku dalam CCTV pada hari tersebut di atas katil.

“Penjenayah yang samun sebuah keluarga di Shah Alam baru baru ini dengan bertopeng muka dan menutup badan dengan pakaian hitam berjaya dihidu dan dicekup polis yang sangat profesional, tetapi bukan Ketua Polis Negara kita dalam kes video seks sejenis ini.

“Rakyat hendak tahu kesahihan individu yang ada bersama Haziq kerana Farhash mendakwa video itu dipadamkan dari CCTV dan hairan bagaimana ia boleh hilang sedangkan rakaman itu diambil siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya. – MalaysiaGazette