KUALA LUMPUR – Siasatan ke atas setiausaha politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang didakwa menerima jam tangan mewah telah selesai dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menunggu maklum balas Jabatan Peguam Negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, kertas siasatan telah dihantar ke jabatan tersebut untuk tindakan selanjutnya pada 10 Julai lalu.
Menurut sumber SPRM sebelum ini, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai menerima jam tangan mewah bernilai RM28,000 sebagai dorongan bagi membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek di bawah kelolaan kementerian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Setiausaha politik berusia 47 tahun itu ditahan pada 1 April selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Beliau kemudian direman tiga hari untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
Setiausaha politik ditahan: Saya tidak akan campur tangan siasatan SPRM, Salahuddin