Home Utama Hadi cadang AMANAH guna simbol DAP pada PRU-15

Hadi cadang AMANAH guna simbol DAP pada PRU-15

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyarankan Parti Amanah Negara (AMANAH) guna simbol DAP semasa PRU-15.

Dakwanya, selama ini AMANAH menjadikan DAP sebagai talian hayat dan menang di kawasan yang ramai penyokong DAP.

“Saya cadang PAN (AMANAH) guna simbol DAP pada pilihan raya akan datang, itu lebih baik,” katanya dalam sidang media di Rusila, Terengganu hari ini.

Sindir Abdul Hadi, melalui cara itu AMANAH akan mendapat lebih banyak undi daripada penyokong DAP.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Marang menyatakan AMANAH – walaupun ahli-ahlinya terdiri daripada serpihan Pas namun sampai sekarang parti itu tidak menonjol dalam perjuangan agamanya.

Lagi pun, katanya, jika AMANAH memperjuangkan Islam kenapa mereka tidak dapat memenangi kerusi di negeri majoriti Melayu seperti Kelantan dan Terengganu.

Pada masa ini, dalam Pakatan Harapan (PH) hanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sahaja yang memperjuangkan Melayu dan Islam tetapi bukan AMANAH.

PKR dan DAP pula parti pelbagai kaum, katanya.

“Dalam PH, pertahan Islam dan Melayu ini parti Bersatu sahaja. PAN (AMANAH) ikut DAP.

“Tun (Mahathir Mohamad) kehebatan mempertahankan Melayu tapi dia kini keseorangan dan kerana itu kita perlu sikap sama dengan UMNO pertahan tun (sebagai PM) sampai habis penggal,” katanya.

Mengenai Piagam UMNO-Pas, Abdul Hadi berkata, ia penting bagi dominasi Melayu Islam dalam politik negara tanapa sesekali mengenepikan kaum bukan Islam dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“Kita tumpu UMNO dan Pas dulu, parti terbesar orang Melayu yang ada akar umbi..yang penting berlakunya kerjasama bukan tarikhnya,” katanya lagi.

Ditanya bagaimana Pas sekarang boleh ‘menghadamkan’ kata-kata nista pemimpin UMNO dahulu semasa menentang Pas, Abdul Hadi menjawab ia bergantung kepada perubahan politik semasa.

Pas juga, katanya, tidak membela kesalahan yang dilakukan oleh UMNO dan pemimpinnya pada masa lepas.

“Kita hadam guna politik matang dan sejahtera dan yang bersalah (pemimpin UMNO) tetap bersalah, kita tidak nafi,” katanya.

Mengenai masalah dalaman UMNO, Abdul Hadi berkata, itu tugas parti masing-masing termasuk Pas sendiri.

“Pas pun bersihkan parti, kita bukan parti malaikat,” katanya.- MalaysiaGazette