KUALA LUMPUR – Skuad Lang Merah bakal meneruskan misi untuk mengulangi kejayaan Piala FA edisi ke-28 pada 2017 di Bukit Jalil esok menentang Perak FC.
Berbanding lawannya The Bos Gaurus, Kedah muncul juara Piala FA sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1996, 2007, 2008 dan 2017.
Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, senario pentas final kali ini berbeza kerana menyaksikan pertembuangan dua pasukan terbaik Malaysia.
Menurutnya, pasukan dan rakyat Kedah bangga untuk berada di pentas final Shopee Piala FA esok di stadium yang berkelas dunia dan dua pasukan terbaik akan bertembung untuk merebut piala.
“Kedua dua pasukan akan cuba memberikan yang terbaik kepada penyokong msing masing untuk menjulang piala.
“Tetapi kami perlu berhati- hati dengan Perak kerana ia bukan tentang seorang pemain tetapi setiap posisi pasukan itu diimbangi pemain berpengalaman dan pemusnah yang tahu mengawal perlawanan selama 90 minit.
“Kami akui pemain utama kami Renan Alves digantung beraksi final esok, itu tidak akan menjejaskan misi kami esok,” katanya dalam sidang media petang tadi di Bukit Jalil.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengesahkan status pemain import Kedah, Renan Alves yang tetap akan terus digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah dalam perlawanan menentang Felda United di pertandingan Liga Super pada 21 Julai lalu.
Justeru katanya, tempat Renan akan diisi dengan pemain terbaik di bek pertahanan kerana menyedari bahaya berdepan jentera pemusnah skuad Perak esok.
“Renan digantung dan akan kehilangan pemain utama itu esok. penting ialah sesiapa yang akan mengisi runag dia perlu memberikan komitmen sepenuhnya.
“Kami tahu bola sepak ini sentiasa berisiko dan sesiapa bakal galas tugas Renan perlu bersiap sedia sebab bukan senang nak menentang pasukan seperti Perak dengan pemusnah yang mereka miliki.
“Setakat ini latihan persiapan berjalan lancar dan semua pemain kesebelasan utama kami berada pada prestasi kecergasan yang tinggi dan akan turun sebagai pasukan ‘underdog’ esok dengan ‘perisai’kami.
“Namun kami tidak boleh fikirkan rekod menang ke atas Perak sebelum ini sebagai kelebihan di pentas final nanti sebab Perak begitu berkobar untuk berdepan kami,” ujarnya lagi.
Kedah mara ke perlawanan akhir selepas mengatasi cabaran Felda United dengan peraturan gol di tempat lawan – berikutan keputusan 3-3 secara agregate dalam dua perlawanan.- MalaysiaGazette