KUALA LUMPUR – Sejak semalam, ada segelintir pimpinan bangkit mempersoalkan penyataan sokongan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat PKR terhadap presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rata-rata suara yang bangkit menyoal itu termasuk pimpinan tertinggi seperti Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.
Bagaimanapun, hari ini, Naib Presiden PKR, Tian Chua pula bangkit ‘meredakan’ situasi dengan meminta semua pihak dalam parti itu supaya berhenti pertelingkahan sehingga wujudnya krisis dua tokoh tertinggi dalam parti.
Malah Tian juga menempelak ‘pihak’ tertentu yang suba menyemai benih kebencian, syak wasangka antara Anwar dan Mohamed Azmin sehingga berlaku konflik parah dalam PKR pada masa ini.
Beliau juga dengan lantang dalam nada amaran tidak sepatutnya sesiapa pun bertanya tentang kesetiaan serta sokongannya terhadap Anwar dan parti.
“Ingatkah kamu tentang Anwar dan penderitaan beliau yang akhirnya memberi inspirasi kepada ribuan di luar sana untuk menyertai parti keramat ini? Kita sertai parti ini kerana mahukan perubahan.
“Saya sendiri telah mendedikasikan kehidupan saya lebih 20 tahun kepada perjuangan ini, bagi saya ini adalah satu penghinaan terbesar seandainya sesiapa terutamanya ‘muka baharu’ untuk menyoal tentang kesetiaan saya kepada Anwar mahupun parti.
“Dalam PKR, Anwar adalah ketua kita tanpa berbelah bahagi.
“Saya akan terus menyokong Anwar menjalankan mandat beliau sebagai presiden dan mengetahui parti ini dan kemudian mengambilalih melalui peralihan kuasa sebagai Perdana Menteri seperti yang di janjikan dalam Pakatan Harapan,” katanya.
Tian Chua menambah, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk terus mempertahankan Anwar dan tidak akan sesekali memberi ruang kepada sesiapa yang cuba merosakkan keharmonian parti.
“Sudah menjadi tanggungjawab saya dalam mengekalkan dan mempertahankan perpaduan antara presiden, timbalan presiden dan kepimpinan pusat secara keseluruhan. Saya tidak akan membenarkan mana-mana pihak yang berniat jahat merosakkan perpaduan yang telah terbina sekian lama.
“Mana-mana pihak yang cuba merosakkan hubungan antara Presiden dengan Timbalan Presiden dan Naib Presiden lain hanyalah memajukan agenda musuh PH.
“Perbuatan mereka mahu menggugat kerjasama dan keharmonian kepimpinan parti akan dikesan dan didedahkan oleh ahli parti di peringkat akar umbi dan orang ramai.
“Wujud agenda ganas serta niat jahat bagi mengelirukan ahli sekaligus mencetuskan keadaan tidak menentu dalam parti pada masa kini dan kita sendiri sepatutnya menentangnya dan bukan termakan serta berkelahi antara satu sama lain,” tegasnya. –MalaysiaGazette