KUALA LUMPUR – Pas menyelar tindakan Parti Amanah Negara (PAN) yang menggunakan nama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam sebuah program Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Aziz baru-baru ini dengan menyifatkan ia sebagai satu jenayah intelek.
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, tindakan PAN itu adalah manipulasi terhadap pemikiran seorang yang telah tiada di dunia ini.
“Tujuan PAN adalah untuk menggambarkan parti yang mereka tubuhkan daripada serpihan Pas adalah selaras dengan pemikiran dan direstui Allahyarham Tok Guru.
“Tok Guru tidak ada kena mengena dengan parti tersebut. Malah Tok Guru terus istiqamah bersama Pas sehingga ke akhir hayatnya. Tok Guru tidak pernah menyeru sesiapa untuk keluar daripada Pas. Itu adalah fakta semasa hayat beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, setiap individu berhak mengkaji pemikiran sesiapa sahaja termasuk pemikiran seorang tokoh yang telah meninggal dunia.
Namun mereka tiada hak untuk menisbahkan sesuatu kepada seorang yang tidak pernah memperkatakannya.
“Kaedah Fiqh menyatakan, tidak dinisbahkan satu ungkapan pada seorang yang diam.
“Pelbagai andaian dibuat dan direka lalu dinisbahkan kepada seorang yang telah tiada di dunia ini. Ia adalah satu penipuan, cerita rekaan dan pembohongan yang sangat nyata dan keji,” tegasnya.
Tambahnya, cerita rekaan seperti yang dilakukan oleh PAN juga telah disebut di dalam istilah hadis Nabi sebagai ‘buhtan’ atau cerita rekaan dan pembohongan yang jelas hukumnya adalah haram
“Seminar ini telah mencipta pelbagai cerita rekaan dan andaian berasaskan sangkaan yang rosak dan salah lalu dinisbahkan kepada batang tubuh Tok Guru Nik Aziz yang telah pergi ke rahmatullah dan tentu Allahyarham tidak boleh menjawap bagi menafikannya,” katanya. – MalaysiaGazette