KUALA LUMPUR – Bayi istimewa, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin kini dalam penerbangan selepas meninggalkan ibu kota London untuk kembali ke tanah air.
Berita gembira itu dikongsikan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, melalui Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian itu, Nurul Erwani turut berharap kepulangan mereka ke tanah air akan dipermudahkan.
“ALLAH, permudahkan perjalanan kami sampai ke Malaysia. Berikan kami sekeluarga kekuatan untuk menghadapi segalanya.
“Selamat tinggal London. Kami akan merindui segala kenangan terindah di sini,” tulisnya dalam status yang dikongsikan beberapa jam yang lalu.
Sementara itu, bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak pula berkongsi sekeping gambar di laman Instagram miliknya yang menunjukkan Nurul Erwani dan Ainul duduk di dalam sebuah pesawat.
Ainul Mardhiah sepatutnya dibenarkan pulang ke Malaysia pada 8 Julai lalu namun ditangguhkan kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Dia yang menghidap Germ Cell Tumor selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya di sebuah hospital di sini.
Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan anestetik diketuai oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.
Doktor berasal dari Malaysia, Dr Amalina Che Bakri dan Dr Julian Ong turut terlibat dalam pembedahan berisiko tinggi itu.
Amalina dalam media sosialnya turut melahirkan rasa rindu kepada Ainul dan berharap dapat melihat anak kecil itu normal seperti kanak-kanak lain. – MalaysiaGazette