Home Sukan Bersyukur dapat empat Piala FA bersama pasukan Kedah – Baddrol Bakthiar

Bersyukur dapat empat Piala FA bersama pasukan Kedah – Baddrol Bakthiar

Ketua Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) dan Mohd Rizal Ghazali (kanan) menunjukkan Piala Sultan Ahmad Shah selepas pasukan mereka berjaya menewaskan pasukan Kedah 5-4 JDT, menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor DT menentang Kedah di Stadium Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR – Bukan satu atau dua tetapi empat Piala FA bersama satu pasukan adalah satu pencapaian yang bukan mudah untuk direkodkan oleh mana-mana pemain bola sepak tanahair.

Itulah pencapaian yang dilakukan seperti yang sasarkan oleh Kapten Pasukan Lang Merah, Baddrol Bakhtiar apabila menjulang Piala FA 2019 selepas menundukkan Perak 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Kata Baddrol, beliau bersyukur dan menepati ramalan untuk menambah koleksi peribadi Piala FA yang keempat kariernya bersama skuad Pulun Kedah Pulun selepas melakukannya pada 2007, 2008 dan 2017.

“Saya bersyukur sebab sebagai ‘one man’ dapat 4 piala (FA) dalam satu kelab (Kedah)… impian dicapai dan cipta sejarah sememangnya sukar dilupakan,”katanya dalam sidang media bersama Ketua Jurulatih pasukannya Aidil Sharin Ishak selepas majlis penyampaian piala malam tadi.

Baginda Sultan Kedah diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkenaan menyampaikan Piala kemenangan kepada pasukan Kedah selain Penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim diangkat pemain terbaik Final Piala FA 2019 kali ini.

Lebih manis, Baddrol juga berjaya membantu Kedah merangkul Piala kelima menerusi kemenangan malam tadi, sekali gus meletakkan pasukan itu seiring dengan Selangor sebagai pasukan paling banyak memenangi gelaran itu dalam sejarah piala FA yang berusia 30 tahun kali ini sejak diperkenalkan pada 1990.

Malah, Badrol juga menjelaskan selepas kejayaan ini, pihaknya akan menumpukan perhatian untuk kempen Piala Malaysia dan juga Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim akan datang.

“Memang disebabkan pelbagai masalah dalaman yang melanda pasukan Kedah mengakibatkan tidak dapat layak ke AFC tahun dua tahun lepas.

“Kali ini memang mahu memastikan Kedah beraksi dalam Piala AFC dan akan fokus persiapan untuk melayakkan diri ke arah itu dengan bimbingan jurulatih kami yang berdedikasi dan bijak ini.

“Dia berjaya membantu dan mengubah pasukan bermasalah kepada champion Piala FA, kami akan mara dengan pencapaian akan datang selepas ini,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette