BALI – Satu keluarga dari India ditangkap oleh kakitangan hotel selepas didapati mencuri pelbagai aksesori dan barangan milik hotel.
Insiden itu heboh diperkatakan selepas ia ditularkan.
Video yang dikongsikan oleh pengguna Twitter, Hemanth pada Sabtu lalu telah menerima maklum balas netizen.
Rata-rata mereka kecewa dengan tindakan keluarga tersebut kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada pelancong India yang hendak bercuti di Bali.
Dalam video itu, ahli keluarga India dilihat berteriak terhadap dua lelaki, dipercayai kakitangan hotel berkenaan yang mahu melakukan pemeriksaan bagasi-bagasi mereka.
Salah seorang lelaki itu dilihat menyelongkar bagasi keluarga berkenaan dan menemui beberapa barangan termasuk botol sabun, beberapa helai tuala, cermin dan alat pengering rambut.
“Saya akan bayar,” kata seorang ahli keluarga tersebut tetapi kakitangan hotel berkenaan enggan menerima wang tersebut.
Kakitangan itu berkata: “Saya tahu anda ada banyak wang tetapi ini tidak bertanggungjawab”.
Seorang netizen berkata, keluarga itu telah memalukan India serta penduduknya.
Malah, kebanyakan pengkritik berkata, tindakan memalukan keluarga itu tidak mewakili pelancong dari India secara keseluruhannya.
Seorang pengacara televisyen, Mini Mathur berkata: “Inilah contoh paling buruk pengembara India yang telah menjejaskan imej negara”. – MalaysiaGazette