Home SISWA 2 penuntut USIM sertai misi bantu ibu tunggal Bosnia

2 penuntut USIM sertai misi bantu ibu tunggal Bosnia

Dua siswi USIM yang akan ke Bosnia bersama IRM iaitu Rabaatul Adawiyah Junus (kiri) dan Maryam Nur Imran (kanan).

 

KUALA LUMPUR – Selepas berjaya melaksanakan dua program kemasyarakatan berimpak kepada komuniti sasaran dalam negara, dua orang siswi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyahut cabaran yang lebih besar untuk membantu komuniti wanita di Bosnia.

Maryam Nur Imran dan Rabaatul Adawiyah Junus yang merupakan pelajar tahun tiga Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM akan berada di Bosnia mulai 17 hingga 24 Ogos hadapan untuk menyempurnakan projek Mission to Bosnia : Empowering Women and Children.

Selepas konflik peperangan tahun 1992 yang menyebabkan kerosakan infrastruktur besar, ratusan ribu nyawa terkorban dan penduduk pula kehilangan punca pekerjaan, Bosnia belum mampu bangkit sepenuhnya hingga kini dan memerlukan keprihatinan dari pihak luar untuk membantu rakyat mereka yang miskin.

Atas realiti tersebut, mereka yang merupakan pelajar Gap Year USIM bekerjasama dengan Islamic Relief Malaysia (IRM) mengambil inisiatif menerajui misi kemanusiaan yang memfokuskan kepada golongan ibu tunggal di Bosnia.

Tujuan misi ini adalah membantu menggerakkan sumber ekonomi dan menjana pendapatan kepada mereka melalui projek peti pengiring makanan (food dryer).

Sepanjang berada di sana, siswa USIM bersama IRM akan mengajar kumpulan ibu tunggal ini secara keseluruhan proses bagaimana projek pengering makanan ini mampu menjana pendapatan mereka.

Beberapa unit peti pengiring makanan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak di Malaysia akan dibawa ke sana, kata IRM.

Selain memantau pelaksanaan projek pengering makanan untuk ibu tunggal, siswi USIM juga akan bersama-sama terlibat dengan beberapa program lain antaranya mengunjungi pejabat Islamic Relief Bosnia; aktiviti terapi untuk kanak-kanak; pengedaran pek makanan; pemindahan ilmu pembuatan kek dan jahitan; pertukaran budaya dan dibawa melawat ke tempat bersejarah di sana.

IRM berkata, kedua-dua siswi ini bermotivasi tinggi untuk memastikan misi di Bosnia ini berjaya mencapai objektifnya setelah melaksanakan Projek Perpustakaan Mini dan Pemantapan Jati Diri di Kg.Orang Asli Bukit Tampoi, Dengkil, Selangor dan Projek Aqua & WASH Taharah di Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah.

Misi ke Bosnia ini menelan belanja yang besar iaitu sekitar RM65,000 dan dana yang terkumpul pada masa kini belum lagi mencukupi.

Justeru itu sumbangan daripada pihak korporat dan perseorangan amat dialu-alukan. Sumbangan boleh disalurkan ke akaunĀ IRM (CIMB Islamic : 8602073818) dengan rujukan GP Bosnia. – MalaysiaGazette