Home Nasional Permaisuri Agong pasti “tapau” ketam bercili jika balik JB

Permaisuri Agong pasti “tapau” ketam bercili jika balik JB

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah meninggalkan Istana Johor, tetapi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah masih mengenangkan pelbagai benda menarik dan makanan sedap di negeri itu.

Malahan setiap kali berpeluang untuk balik ke Johor Bahru, baginda pasti akan “tapau” ketam bercili di sebuah restoran dengan perhiasan ala Hong Kong.

“Ini merupakan (ketam bercili) yang paling sedap di satu dunia, ketam bercili kedai ini tiada bandingannya.

“Ia berlainan dengan yang lain kerana mempunyai telur masin kuning selain kuah cili yang istimewa. Ia merupakan ketam bercili paling lazat yang pernah saya rasakan,” titah baginda seperti dipetik Nanyang Siang Pau dalam wawancara selama tiga jam dengan media bahasa Cina baru-baru ini.

Permaisuri Agong memberitahu, walaupun jarang balik ke Johor selepas mendirikan rumah tangga di Pahang, namun ketam bercili tidak dilupakan setiap kali baginda berada Johor Bahru.

Selain gemar merasa makanan sedap, Raja Permaisuri Agong juga merupakan tukang masak yang handal.

Malahan, baginda juga bercadang mengumpulkan resipi-resipi yang ada untuk menghasilkan buku bertajuk Dapur dari Istana yang merangkumi masakan-masakan Melayu, Cina dan India.

Menariknya, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah lebih gemar makanan pelbagai kaum di Malaysia berbanding makanan barat.

“Jika masak makanan barat seperti spageti, saya akan tambah belacan, cili dan petai,” titah baginda sambil mengaku dirinya sebagai orang yang gemar makanan pedas.

Selain itu, baginda yang juga mahir memasak nasi ayam Hainan yang merupakan satu menu kegemaran ramai rakyat Malaysia.

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkata, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pula lebih gemar makanan barat selain makanan Melayu.

“Yang di-Pertuan Agong gemar kuih pau halal yang dihasilkan di Kuala Kangsar.

“Baginda juga gemar mencicah Char Kuih dengan cili sebagai sarapan,” titah Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Disebabkan terlalu suka memasak, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah memindahkan semua alat memasak baginda dari Pahang ke Istana Negara.

“Saya gemar masak bersama dengan tukang masak di istana kerana boleh mengambil kesempatan untuk belajar daripada mereka,” titah baginda.

Walaupun bergelar Permaisuri Agong, baginda tetap berkunjung ke pasar raya, semata-mata mahu memilih bahan yang paling segar untuk dijadikan hidangan enak bagi seisi keluarga. – MalaysiaGazette