KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan kini sedang memburu dua individu lelaki yang disyaki mencederakan Timbalan Pengerusi Veteran UMNO negeri, Datuk Kamarudin Abdullah di Jalan Tengku Chik, Kota Bharu, malam Ahad lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, pihaknya sudah memanggil seorang saksi dan telah mengambil keterangannya mengenai kejadian bagi membantu siasatan.
“Berhubung kejadian itu kita masih lagi menjalankan siasatan dan tiada sebarang tangkapan dibuat.
“Kita juga belum lagi mengambil keterangan daripada mangsa (Kamarudin) kerana keadaannya yang baru menjalani pembedahan akibat kecederaan dialaminya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya memetik Utusan Malaysia Online, hari ini.
Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian yang membawa kepada kecederaan parah ditetak dan dikelar.
Kamarudin kini sedang menerima rawatan di zon merah di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan berada dalam keadaan stabil. -MalaysiaGazette
Artikel berkaitan