TOKYO – Seramai 11 orang maut dan 5,664 orang lagi dihantar ke hospital berikutan gelombang haba yang mengakibatkan suhu meningkat dengan ketara pada minggu berakhir Ahad lalu.
Musim hujan pula dilaporkan sudah berakhir di kebanyakan kawasan.
Bilangan pesakit yang dihantar ke hospital hampir tiga kali ganda daripada 1,948 pada minggu sebelumnya.
Mereka yang berumur 65 tahun ke atas menyumbang 52.6 peratus daripada keseluruhannya pesakit dalam seminggu, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana.
Daripada 5,664 orang, 119 menunjukkan gejala yang teruk yang biasanya memerlukan sekurang-kurangnya tiga minggu rawatan, sementara 1,792 mengalami masalah yang kurang serius, yang memerlukan masa lebih singkat.
Dalam pada itu, 11 kematian dilaporkan di 11 kawasan yang berbeza di antara 47 wilayah di Jepun.
Pesakit dari Aichi paling ramai di hospital dengan jumlah 392, diikuti oleh Osaka pada 388 dan Tokyo pada 299.
Suhu diramalkan kekal tinggi melepasi purata pada minggu akan datang dan orang ramai dinasihatkan minum air secukupnya. – MalaysiaGazette