Home Utama Apa lagi pendedahan Joanna Yu hari ini?

Apa lagi pendedahan Joanna Yu hari ini?

Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joannya Yu ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International berhubung dakwaan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudah masuk hari ke-46 hari ini akan terus menyaksikan sambungan pemeriksaan balas saksi ke-54.

Saksi itu, Joanna Yu Ging Ping merupakan antara saksi terpenting dalam merungkai transaksi jutaan ringgit, selain daripada penglibatan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low selain daripada individu-individu lain seperti Ketua Pegawai SRC yang kini sudah menghilangkan diri, Nik Faisal Ariff Kamil.

Joanna yang sudah memberikan keterangan sejak seminggu lepas banyak membuat pendedahan terutamanya ketika menceritakan kembali perbualan antara dirinya dengan Jho Low dalam perbualan Blackberry Messenger (BBM).

Isnin lepas, Joanna juga telah menggamatkan suasana bilik prosiding apabila secara bersahaja mengatakan dirinya tidak pasti siapa sebenarnya ‘big boss’, adakah Najib atau Jho Low yang di lihat lebih ‘dominan’ dalam memberikan arahan terhadap transaksi tertentu kepada bekas Pegawai Pengurus Perhubungan Ambank itu.

Bagaimanapun, Joanna tidak pula bersetuju dengan andaian peguam bela, Harvinderjit Singh bahawa Nik Faisal bukan orang penting dalam operasi akaun Najib.

Harvinderjit berkata, mengikut perbualan di BBM antara Yu dan Nik Faisal pada 13 Jan, 2015, Nik Faisal berkata “ Saya bukan orang penting.”

“Itulah apa yang dia katakan tetapi saya tidak bersetuju dengannya,” kata Joanna.

Jelas Joanna lagi, Jho Low juga akan memastikan cek oleh Najib melalui tiga akaun Ambank peribadinya tidak di tendang, selain sentiasa mempunyai wang bagi melakukan transaksi, rata-rata arahan juga di keluarkan olehnya berbanding Nik Faisal yang merupakan pemegang mandat.

Pegawai bank itu memberikan keterangan berhubung akaun-akaun berkenaan, tiap satu dengan nama kod tertentu, yang terdiri daripada Y1MY bagi akaun yang nombornya berakhir dengan angka 808, dan MY yang berakhir dengan angka 906.

Joanna juga mendedahkan bagaimana akaun Najib pernah beberapa kali terlebih pengeluaran sehingga sering memaksa dia menghubungi Jho Lo atau pemegang mandat akaun Nik Faisal Ariff Kamil bagi menyelesaikan isu itu.

Selalunya kata saksi, Nik Faisal ‘jarang’ melayan telefonnya sehingga Joanna terpaksa menghubungi Jho Low secara terus.

Jho Low didakwa pernah mengarahkan beliau supaya memusnahkan buku cek Najib bagi akaun 2013, yang mana saksi itu tidak melakukannya.

Malah, Jho Low pernah memintanya untuk memadamkan log perbualan antara mereka.

Harvinderjit: Jho Low minta anda memusnahkan buku cek lama, tapi anda tidak melakukannya

Yu: Biasanya ia akan dihantar balik ke cawangan untuk menyemak duti setem yang tertera di muka surat yang tinggal.

Harvinderjit: Kenapa anda tidak musnahkannya

Yu: Ia bukan cek saya.

Harvinderjit: Kenapa anda tidak beritahu dia kita tidak boleh musnahkannya.

Yu: Selepas menutup mana-mana akaun, menjadi amalan biasa bagi kami untuk menghantar buku cek itu balik ke cawangan.

Perbicaraan akan di sambung sebentar lagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali sekitar jam 9.15 pagi. – MalaysiaGazette

Siapa ‘big bos’ sebenarnya, Najib atau Jho Low?

 

Jho Low guna istilah ‘sate pai’ untuk rujuk ringgit dan dolar