Home Sukan Tiga pemain Liverpool terima anugerah FIFA

Tiga pemain Liverpool terima anugerah FIFA

Tiga pemain Liverpool, Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Sadio Mane

LONDON – Tiga pemain Liverpool, Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Sadio Mane menyertai senarai pendek penerima anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA.

Perkara itu diumumkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus meletakkan mereka sebaris dengan pemain handalan, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Salah dan Mane berkongsi anugerah Kasut Emas Liga Perdana – bersama penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang selepas masing-masing menyumbat 22 gol – manakala Messi adalah penjaring gol terbanyak La Liga (36 gol) dan Liga Juara-Juara (12 gol) musim lalu.

Pertahanan tengah Van Dijk, yang memenangi anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana dan Pemain Terbaik Tahunan PFA antara tonggak penting Liverpool memenangi gelaran keenam Eropah.

Ronaldo menjulang trofi Serie A pada musim pertamanya di Itali bersama Juventus dan dinamakan Pemain Paling Bernilai liga berkenaan. Dia juga mengetuai Portugal memenangi kejuaraan Liga Negara-Negara Eropah, bulan lalu.

Dalam pada itu, pemain skuad wanita Amerika Syarikat (AS), Megan Rapinoe, yang memenangi anugerah Kasut Emas dan Bola Emas selaku pemain terbaik Piala Dunia Wanita disenarai bersama rakan sepasukannya, Alex Morgan, Julie Ertz dan pemenang Ballon d’Or tahun lalu, Ada Hegerberg bagi kategori wanita.

Rakan sepasukan Hegerberg di Olympique Lyonnais, yang memenangi tiga gelaran musim lalu iaitu Lucy Bronze, Amandine Henry dan Wendie Renard turut tersenarai.

Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp dan pengurus juara Inggeris, Manchester City, Pep Guardiola disenarai bagi anugerah Jurulatih Terbaik.

Turut tersenarai ialah jurulatih Portugal, Fernando Santos, pengendali Brazil, Tite, dan jurulatih Algeria, Djamel Belmadi.

Jurulatih skuad wanita AS, Jill Ellis, yang membimbing pasukannya memenangi gelaran Piala Dunia Wanita keempat disenarai pendek bagi kategori wanita selain jurulatih Lyon, Reynald Pedros dan pengendali Belanda, Sarina Wiegman.

Senarai finalis tiga terbaik akan diumumkan sebelum majlis anugerah berlangsung di Milan pada 23 September ini. – MalaysiaGazette