Home Seni Hidup Tunku Azizah hulur sumbangan RM30,000 untuk Hospital Rehabilitasi Cheras

Tunku Azizah hulur sumbangan RM30,000 untuk Hospital Rehabilitasi Cheras

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyerahkan replika cek kepada Pengarah Hospital Rehabilitasi Cheras, Dr. Roslan Johari Mohd Ghazali ketika mengadakan lawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghulurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Hospital Rehabilitasi Cheras.

Sumbangan itu bertujuan membantu pengurusan dan rawatan hospital tersebut.

Raja Permaisuri Agong berkenan memberi kurnia ketika mencemar duli melawat hospital itu hari ini, sempena Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Tunku Azizah  berangkat tiba jam 9.30 pagi diiringi Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa selaku Menteri Pengerusi Istiadat Pertabalan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad; Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; dan Pengarah Hospital Rehabilitasi Cheras Dr Roslan Johari Mohd Ghazali.

Selain disambut mesra kakitangan hospital, Tunku Azizah turut diberikan taklimat mengenai pusat tersebut oleh Dr Roslan.

Tunku Azizah turut dihiburkan dengan persembahan 11 pesakit kanak-kanak yang mengalami penyakit seperti cerebral palsy, spina abifida, Stroke dan juga amputasi kaki yang disebabkan kanser tulang.

Raja Permaisuri Agong kemudian berkenan meluangkan kira-kira 30 minit melawat Unit Teknologi Rehab dan Wad Kanak-kanak.

Tunku Azizah berangkat pulang pada pukul 12 tengah hari.- MalaysiaGazette