Home Nasional Tak adil beri bantuan kepada penerima tidak layak – Amirudin

Tak adil beri bantuan kepada penerima tidak layak – Amirudin

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (tiga kiri) diberi penerangan oleh Timbalan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Iqbal Saripan (tiga kanan) mengenai aplikasi kad ID digital UPM pada Persidangan Pentadbiran ICT Universiti 2019 (PPICT 2019) di Hotel Marriot, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 01 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah mengubah kriteria dan syarat kelayakan pendapatan bagi penerima skim bantuan Selangor atau lebih dikenali sebagai Inisiatif Peduli Rakyat.

Menteri Besar, Amirudin Shari menegaskan, sebaliknya kaedah pengukur sahaja berubah apabila penerima bantuan itu akan disaring oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum layak mendapat bantuan itu.

“Kriteria tidak berubah, pendapatannya tidak berubah. Yang berubah ialah alat pengukur. Sebelum ini kita tiada alat pengukur yang lengkap.

“Tapi bila ada gabungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, kita mempunyai LHDN yang mendaftarkan pembayar cukai dan pengisytiharan mereka termasuk pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Dengan alat itu kita dapat mengesan dengan lebih lengkap. Bila dapat kesan dengan lebih lengkap, kita hanya bayar kepada mereka yang layak saja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pentadbiran ICT Universiti 2019 di Hotel Marriot, di sini, hari ini.

Beliau mengulas desakan Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), A’zlan Abu Bakar semalam agar Kerajaan Negeri Selangor mengembalikan semula skim bantuan itu kepada lebih 20,000 individu daripada senarai penerima sebelum ini.

MGF01082019_MB SELANGOR PPCIT15
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap pada sidang media selepas Persidangan Pentadbiran ICT Universiti 2019 (PPICT 2019) di Hotel Marriot, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 01 OGOS 2019.

Menurut A’zlan, tindakan pemotongan jumlah itu amat mengejutkan kerana ia membabitkan 50 peratus penerima skim bantuan Selangor khususnya Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Selain KISS bantuan Skim Peduli Sihat bernilai RM500 juga dikurangkan jumlah penerima daripada 392,000 keluarga dan kini dihadkan kepada 65,000 penerima.

Amirudin juga menegaskan, pihaknya tidak akan mengembalikan bantuan itu kepada mereka yang menikmatinya sejak ia diperkenalkan sedangkan mereka telah terbukti tidak layak menerimanya.

“Kalau kita nak kembalikan dan beri kepada mereka yang kurang layak, itu saya rasa satu tidak adil.

“Sebab itu saya sebut secara menyeluruh kalau ada yang tercicir keluar, tapi masih lagi layak dan belum lagi mendaftar, pendaftarannya boleh dibuka sepanjang tahun.

“Tiada masalah untuk kita berikan semula tapi kita akan berikan kepada yang layak,” katanya.

Ditanya tentang peruntukan tambahan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM123 juta, Amirudin mempertahankan tindakannya itu sambil menjadikan LHDN sebagai sandaran.

“Kita tiada alat pengukur, bila kita dapat alat pengukur ataupun penyaring, iaitu LHDN melalui BSH dan pengisytiharan yang mereka buat.

“Jadi secara langsung dan tidak langsung baru kita akan dapat angka sebenar

“Itu logik, kenapa kita tak tahu angka sebenar kita nak letak dengan terlalu banyak.

“Lepas itu kita tambah, tambahan itu untuk melengkapkan satu angka yang telah disemak dan dikemaskini setelah kita melakukan proses penyaringan.

“Jadi perkara tersebut berlaku mungkin tahun ini atau dua tiga tahun dan selepas ini perkara itu tidak timbul lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette