KUALA LUMPUR – Pemain legenda Nasir Yusoff berpendapat Piala Malaysia akan kekal sebagai sebuah pertandingan yang ada magisnya tersendiri dan relevan dalam peta bola sepak tempatan.
Bermula pada 1921, dikenali sebagai Piala HMS Malaya sebelum diperkenal kepada Piala Malaya sejak tahun 1948 dan Piala Malaysia bermula sejak 1967, Nasir akui kejohanan itu menyimpan pelbagai nostalgia untuk setiap lapisan generasi bola sepak.
Nasir sendiri telah mendakap dua kali kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 1985 dan 1991 yang kekal jadi kenangan manis sepanjang menyarung jersi Johor sejak dari tahun 1981 hingga 1994.
Bagi Nasir, walaupun Liga Malaysia kini turut diwarnai saingan Liga Super, Liga Premier dan Shopee Piala FA, saingan Piala Malaysia tetap menghadirkan coretan tersendiri sepertimana yang dipentaskan pada final Piala Malaysia, musim lalu.
“Kenangan manis saya dengan Piala Malaysia ialah pada tahun 1991 apabila saya menang Piala Malaysia buat kali kedua bersama Johor selepas tahun 1985.
“Bagi bila sebut Piala Malaysia ini, ia memang akan kekal sebagai piala berprestij dan kualiti pertandingannya pasti akan berbeza kerana ia kemuncak bagi saingan Liga Malaysia.
“Macam tahun lalu, kita dapat saksikan di final (Perak lwn Terengganu), begitu luar biasa aksi ditampilkan kedua-dua pasukan dan untuk musim ini, saya hendak tunggu apa impak yang akan dilakukan oleh tiap pasukan di saingan Piala Malaysia, ” katanya.
Dalam pada itu, Nasir atau turut dikenali The Professor, mendapati mutu bola sepak Malaysia semakin meningkat jika hendak dibandingkan dengan zamannya bergelar pemain pada era 80-an dan 90-an.
Malahan, beliau yakin perkembangan ini akan berterusan berdasarkan kemahuan dalam dunia bola sepak moden yang sentiasa menagih kemajuan pada saban tahun.
“Jangkaan serta kemahuan orang ramai bagi bola sepak moden semakin tinggi dan mereka sentiasa mahukan kualiti terbaik dalam tiap perlawanan yang mereka tonton.
“Situasi itu membuatkan saya melihat permainan bola sepak di arena tempatan sekarang banyak peningkatan dan jauh berbeza jika hendak dibandingan dengan zaman saya bergelar pemain dahulu.
“Saya jangkakan di Piala Malaysia nanti kita akan melihat persembahan yang pasti lebih bertenaga selepas mereka harungi saingan (Shopee) Piala FA dan Liga Super atau Premier, “ katanya.
Mengenai pasukan pilihan pada pentas Piala Malaysia 2019, Nasir memilih Perak untuk pertahankan kejuaraan musim lalu selain melihat Terengganu ada kemampuan cipta kejutan.
Namun, secara keseluruhan beliau berasakan semua pasukan ada peluang sama rata kerana saingan di Piala Malaysia adalah berbeza dengan pentas liga.
“Perak selaku juara bertahan sekali lagi jadi pilihan saya manakala Terengganu juga ada kemampuan pada edisi kali ini. Bagaimanapun kemampuan pasukan lain tidak boleh dipandang rendah kerana Piala Malaysia sentiasa akan ada kejutan yang tidak diduga,” katanya.
Saingan Piala Malaysia 2019 bakal bermula hari ini membabitkan 16 pasukan. – MalaysiaGazette