KUALA LUMPUR – AirAsia menyeru Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengutamakan isu-isu lebih penting dalam operasi dan pengalaman para penumpang di klia2 berbanding cadangan untuk mengintegrasikan hab pengendali tambang rendah klia2 dengan KLIA.
Rancangan yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) itu terus menjadi topik perbualan walaupun kedua-dua organisasi telah gagal mereka model pelaksanaan bagi penyambungan syarikat-syarikat penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, MAHB masih belum berbincang dan berunding dengan AirAsia atau AirAsia X meskipun dua syarikat penerbangan terbesar itu yang menyumbang kepada 97 peratus keseluruhan aliran penumpang di klia2.
“Rancangan utama bagi mengintegrasikan KLIA dan klia2 dari segi prasarana dan perbelanjaan modal (capex) intensif perlu ditunda, sebaliknya isu yang lebih kritikal perlu diutamakan oleh MAHB.
“Fokus MAHB sepatutnya adalah untuk mencari jalan bagaimana untuk menggunakan peningkatan cukai lapangan terbang yang dikutip daripada para penumpang, untuk menaik taraf kemudahan di klia2 sama seperti KLIA yang mewah, membaiki apron dan landasan laluan kapal terbang, menyediakan lebih banyak ruang untuk para penumpang dan mereka semula pintu pelepasan.
“MAHB juga masih agak perlahan dalam menggunakan teknologi untuk menambah baik pengalaman perjalanan para penumpang secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Riad menambah, tambahan cukai lapangan terbang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah kesesakan di lapangan terbang lain di Malaysia seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, yang mana ruang daftar masuk adalah terhad dan tidak dapat mengendalikan para penumpang yang semakin meningkat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, visi syarikat penerbangan itu adalah untuk meneraju hab tambang rendah di Asia dan sektor pelancongan negara, yang mana pelancong-pelancong jarak jauh dari Australia, China, India, Korea Selatan dan Jepun boleh berhenti atau melakukan penerbangan transit dengan mudah dan pantas melalui rangkaian penerbangan jarak dekat terbesar di Asean.
Menerusi pengalaman AirAsia dan dengan cara ini, para pelancong bajet tidak perlu membazir untuk melaksanakan konsep yang tidak masuk akal.
“Kami percaya cadangan integrasi antara syarikat penerbangan perkhidmatan penuh di KLIA dan syarikat penerbangan tambang rendah di klia2 tidak mendatangkan sebarang manfaat. Selama 18 tahun kami beroperasi, kami belum menerima permintaan daripada mana-mana syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, termasuklah syarikat penerbangan kebangsaan yang beroperasi dari KLIA.
“Tidak wujud potensi untuk menyambungkan syarikat-syarikat penerbangan, dan MAHB gagal memahami isu ini. Ini juga menunjukkan bahawa MAHB tidak memahami keperluan sebenar syarikat penerbangan dan para penumpang,” ujarnya.
Tambah Asmat, kelulusan oleh Mavcom bagi konsep terminal bersepadu dan cadangan perkhidmatan sambungan menunjukkan peningkatan caj yang dikenakan adalah bukan untuk para penumpang.
Tetapi lebih mengenai rangka kerja Aset Kawalan, yang mana ia bertujuan untuk melindungi dan mengekalkan pendapatan MAHB. – MalaysiaGazette