SHAH ALAM – Kementerian Pertahanan Malaysia menafikan dakwaan kes penculikan khususnya di perairan Kawasan Keselamatan Khas di Pantai Timur Sabah (ESSCOM) semakin meningkat.
Sebaliknya, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan jenayah itu semakin berkurangan hasil kerjasama strategik antara tiga negara jiran.
“Sebenarnya berkurangan (culik) bukan bertambah. Cuma sekarang ini apa disiarkan secara meluas, tetapi ianya begitu kurang sebab ada tindakan tiga negara bersama iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina.
“Kerjasama untuk membanteras sebarang bentuk penculikan dan juga pengganas di kawasan itu. Sekali sekala ada pencerobohan itu kita dapat tangani,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, dalam menangani masalah penculikan di pantai barat Malaysia, pihaknya dalam proses untuk menstrukturkan semula ESSCom.
“ESSCom sedang disusun semula dan ia akan selesai kepada lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menambah jumlah anggota keselamatan di ESSCom dalam menangani kes penculikan.
“Itu kita akan bincang di peringkat majlis Kementerian Pertahanan sama ada perlu penambahan atau tidak.
“Tapi yang pentingnya segala peralatan perlu diperingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette