KUALA LUMPUR – Pelakon Ashraf Muslim akan berangkat ke Mekah bagi mengerjakan ibadah haji hari ini.
Ashraf, 37, memberitahu dia pergi sendirian tanpa ditemani keluarga dan akan berada di Tanah Suci itu selama 40 hari.
Menerusi laman Facebook miliknya, Ashraf turut memohon maaf kepada ahli keluarga, sahabat dan kenalan, selain meminta didoakan mendapat haji yang mabrur.
“Alhamdulillah dan terima kasih Allah. Dengan rasa rendah diri saya ingin memohon maaf kepada ahli keluarga, sahabat-sahabat dan kenalan-kenalan yang mengenal diri saya dan halalkan makan minum saya.
“Tepat pukul 9.00 pagi ini bermulalah pengembaraan saya ke Tanah Suci selama 40 hari meninggalkan ahli keluarga dan sahabat-sahabat serta harta benda sementara waktu untuk menjalankan tanggungjawab yang paling agung.
“Doakan saya supaya dapat haji yg mabrur dan memberi kesihatan yg cukup di sana. Dan doakan juga isteri-isteri dan anak-anak serta harta benda saya sentiasa dilindungi oleh Allah SWT.
”Sedih, hiba dan rindu semua ada waktu ini hanya Allah sahaja yang tahu. Tapi ini lah dinamakan pengorbanan bukan saya sahaja perlu lakukan malah orang sekeliling yang menyayangi,” tulisnya.
Ashraf turut melahirkan rasa sedih kerana terpaksa berpisah sementara bersama dua isteri dan empat orang anaknya.
“Terima kasih, wahai isteriku Dayana, Sakinah dan anak-anak, Sarah , Adam, Anas dan Safiyyah kerana sentiasa memahami ku sebagai seorang ayah, teman baik, teman untuk dimarah, teman untuk mengadu, teman untuk bermain-main, teman berkasih sayang.
“Maafkan ayah sayang-sayangku. Ayah pergi sekejap jer. Kita jumpa nanti ye, jgn sedih dan risau,” tulisnya lagi.
Selain Ashraf, beberapa orang artis turut mengerjakan haji tahun ini antaranya, Erra Fazira, Umie Aida, Aida Khalida dan Neelofa. – MalaysiaGazette