KUALA LUMPUR – Pelakon Datin Seri Umie Aida meluahkan rasa syukur kerana doanya ketika menunaikan umrah pada Januari lalu supaya dibukakan jalan untuk mengerjakan Rukun Islam kelima dimakbul Allah SWT.
Umie berkata, dia bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah pada 4 Ogos ini bersama suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi menunaikan ibadat haji buat kali pertama.
“Ketika mengerjakan umrah, Januari lalu, saya berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah meluaskan rezeki dan diberi peluang kembali ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji pula.
“Alhamdulillah, doa saya diperkenankan. Saya berharap diberikan Allah kesabaran dan kekuatan untuk melaksanakan segala rukun dengan sempurna.
“Peluang itu juga saya manfaatkan sebagai ruang untuk muhasabah diri kerana setiap tetamu Allah pasti ingin pulang bersama haji mabrur. Saya mahu kembali ke tanah air nanti menjadi insan yang lebih baik,” katanya kepada BH Online.
Pelakon filem Dukun itu berkata, dia juga sentiasa berdoa diberikan kesihatan yang baik, sekali gus dapat menyempurnakan ibadat haji dengan lengkap.
“Teruja sebenarnya atas peluang dan kesempatan ini. Secara peribadi, saya sudah tidak sabar mahu ke sana, malah sedang membilang hari menanti waktu Wukuf. Saya harap sangat diberikan Allah kesihatan yang baik untuk merasai nikmat paling berharga ini,” katanya.
Tambah Umie, pemergiannya itu juga bermakna, dia perlu berenggang dengan anak angkatnya, Nur Aisya yang dijaga sejak usia 12 hari.
Sebelum ini, sahabat baik Umie yang juga primadona filem, Erra Fazira telah mengumumkan untuk menunaikan ibadat haji dan akan berangkat ke Mekah pada 5 Ogos ini.
Erra, 45, akan berada di Tanah Suci selama dua minggu tanpa ditemani mahram. – MalaysiaGazette