KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Negeri Selangor mahu usul yang membabitkan pindaan untuk memartabatkan agama Islam mendapat sokongan baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Ketuanya, Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz berkata, jika pergolakan berlaku, ia hanya akan mendatangkan kerugian kepada rakyat Selangor dan hukuman perlu dijatuhkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
Menurutnya, perkara itu dapat dilihat dengan jelas apabila usul pindaan undang-undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam yang sepatutnya dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari tidak mendapat persetujuan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ahli Dewan Negeri daripada Pakatan Harapan Negeri Selangor di dalam Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Ke-14 menunjukkan ketidak bersamaan didalam membawa usul pindaan undang undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam apabila tidak dapat diusulkan pada sidang Dewan Negeri Selangor kali ini.
“Usul tersebut sepatutnya dibawa oleh Menteri Besar Selangor. Ia tidak mendapat persetujuan daripada Speakar Dewan Negeri Selangor untuk diusulkan di dalam Dewan Negeri sekaligus membuat undian untuk meluluskan pindaan undang undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam.
“Persoalannya kenapa usul ini tidak dapat persetujuan daripada tuan Speaker?” soal beliau menerusi kenyataan media hari ini.
Aifaa Zaffan turut mempersoalkan sama ada berlakunya pergolakan di dalam PH ketika ini.
“Bayangkan hari ini seramai 50 orang Yang Berhormat daripada Pakatan Harapan tetapi masih tidak mampu sepakat dalam membawa usul yang penting dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar,” ujar beliau. – MalaysiaGazette