Home Nasional Peranti awasi pergerakan ODP mampu jayakan program CSI – Muhyiddin

Peranti awasi pergerakan ODP mampu jayakan program CSI – Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim (tiga kiri) bergambar bersama peserta pada Majlis Perasmian Pelancaran Program Corporate Smart Internship (CSI) Jabatan Penjara Malaysia di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OGOS 2019

KAJANG – Pemasangan Peranti Pengawasan Elektronik (EMD) antara cadangan yang sedang diteliti kerajaan untuk mengawal pergerakan banduan Banduan Di Parol (ODP) yang diserap dalam program pemulihan ‘Corporate Smart Internship’ (CSI).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, EMD penting untuk mengawal pergerakan mereka ODP sepanjang latihan teori dan amali bersama syarikat swasta yang akan menjamin pekerjaan apabila dibebaskan nanti.

“Mereka perlu diawasi supaya tidak melanggar peraturan penjara dan undang-undang yang ditetapkan negara.

“Tadi pun kita ada bincang mengenai EMD melibatkan ODP dan satu lagi adalah Orang Di Selia (ODS),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan program CSI Jabatan Penjara Malaysia di sini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengara Penjara Malaysia Datuk Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan dalam ucapan berkata, penggunaan EMD akan memainkan peranan penting di dalam program CSI dengan mengurangkan kos pentadbiran untuk mengawal ODS dan ODP dalam proses pengawasan.

Katanya, kerajaan boleh berbincang Felcra yang memerlukan 6,000 pekerja dengan menggunakan tenaga ODS dan untuk itu EMD diperlukan bagi memantau pergerakan mereka.

“Tapi dari segi kos, kalau beli satu unit (EMD) itu mahal dan yang kedua kalau sewa pun mahal juga.

“Jadi saya kata tidak mengapa kita bincang dengan Felcra jikalau mereka boleh diserap kerana peserta (syarikat ) menyertai program CSI ini menerima insentif cukai.

“Kalau itu dikira kos (yang boleh ditanggung Felcra) mereka dikecualikan cukai (insentif cukai) maka kita ada manfaat dan kerjasama itu boleh dilakanakan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, cadangan tersebut jika dilaksanakan mampu mengurangkan  kesesakan melampau di penjara di negara ini yang hampir mencecah 70,000 penghuni berbanding kapasiti sebenar yang hanya boleh menampung 50,000 orang.

Ditanya sama ada kekurangan penyertaan syarikat disebabkan oleh insentif yang tidak menarik daripada kerajaan, Muhyiddin bagaimanapun menafikan perkara itu.

“Saya fikir sebahagian besar mungkin tak memahami bahawa ada insentif ditawarkan oleh kerjaaan untuk membantu program seperti ini.

“Jadi sebab itu hari ini kita buat program ini untuk menyedarkan sektor korporat untuk tampil mengambil bahagian melatih dan menyerap bekas banduan ke arah meningkatkan modal insan yang terlatih,” katanya.

Dalam perkembangan sama Muhyiddin juga mengakui membina penjara baru antara cadangan kerajaan namun terpaksa meneliti kos ratusan juga yang diperlukan.

“Sementara peruntukan itu belum kita dapat perolehi daripada Kementerian Kewangan, satu cara mengurangkan beban ialah dengan menempatkan mereka yang layak di program CSI,” katanya. – MalaysiaGazette