KUALA LUMPUR – Langkah Kementerian Pendidikan yang mahu pengajaran seni khat (tulisan Jawi) diterapkan melalui mata pelajaran Bahasa Melayu tidak sewajarnya dijadikan isu hingga mengundang kontroversi.
Sebaliknya, biarlah pakar-pakar dan golongan profesional melakukan perbincangan dalam menyelesaikan kemelut yang sengaja ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu, kata Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menurut Ka Siong, tidak perlu juga untuk menuding jari kepada kerajaan terdahulu berhubung pembaharuan yang cuba dibawakan oleh Kementerian Pendidikan kerana ia bukanlah satu perkara merugikan (jika dilaksanakan).
“Saya harap isu ini dapat diselesaikan secara damai, secara bermusyawarah dan mengambil pandangan daripada masyarakat.
“Orang Malaysia, orang Cina khususnya mereka mahu semua anak mereka ini dapat menguasai Bahasa Malaysia. Itu adalah satu perkara asas. Anak saya pun saya tekankan betapa pentingnya Bahasa Malaysia itu.
“Jadi penguasaan Bahasa Malaysia itu mestilah melalui pedagogi yang betul. Pedagogi itu sepatutnya mampu melonjakkan lagi penguasaan bahasa Malaysia seseorang,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Air Hitam berkata, pengajaran tulisan Jawi dalam pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ataupun Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sepatutnya diambil sebagai satu kaedah sama seperti bagaimana pembelajaran Bahasa Melayu kini diajar di sekolah-sekolah berkenaan.
Katanya, sistem baharu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang cuba diperkenalkan itu perlu dilihat dari sudut menambah baik penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu di negara ini.
“Apa yang saya dapat lihat sekarang daripada badan-badan yang terlibat dalam dialog ialah mereka melihat apakah seni khat itu dapat meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dalam kalangan SJKC.
“Ini persoalannya. Saya belajar sendiri tulisan jawi, saya tandatangan pun tulisan jawi. Tapi, saya tidak belajar daripada SJKC.
“Adakah oleh kerana saya tidak melalui sistem di sekolah SJKC penguasaan bahasa Malaysia saya lemah?,” soal beliau.
Justeru, Ka Siong menggesa agar pihak-pihak tertentu tidak menjadikan perkara tersebut sebagai isu sebaliknya, memberi ruang perbincangan yang luas agar langkah itu dapat dilaksanakan dengan betul. – MalaysiaGazette