Home Nasional Usahawan perlu terapkan nilai integriti untuk berjaya – PM

Usahawan perlu terapkan nilai integriti untuk berjaya – PM

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Datuk Siti Nurhaliza diiringi Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof (kiri) dan Pengerusi Penganjur, Datuk KK Chua (kanan) pada Malam Gala Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Golongan usahawan diingatkan agar sentiasa menerapkan nilai-nilai murni, integriti dan kejujuran sekiranya mahu mewujudkan model ekonomi yang berjaya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, nilai-nilai tersebut sangat penting sekiranya usahawan ingin mempunyai kelestarian dalam apa yang diusahakan.

Menurutnya, tanpa nilai-nilai itu, kejayaan tidak akan menjadi kenyataan sekaligus menghilangkan semangat untuk meneruskan usaha yang selama ini digarap.

“Tetapi ingatlah, bahawa menjadi pemenang tidak hanya apabila kita diberi pengiktirafan. Dan kejayaan itu tidak akan dapat dicapai dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh di KLCC di sini malam ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa, Malaysia menawarkan persekitaran yang kondusif untuk usahawan berkembang seperti yang dibuktikan oleh kejayaan dan pencapaian para usahawan muda hari ini.

Ujarnya, usahawan muda Malaysia harus membuktikan bahawa mereka boleh didorong oleh inovasi pertumbuhan ekonomi dan keupayaan kerama ia boleh membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui bahawa ada masanya beliau berasa kurang senang terhadap golongan belia yang terjebak dalam kancah negatif.

“Kami sedang berhadapan dengan kemajuan teknologi yang belum pernah berlaku sebelum ini dan ledakan berlaku dalam revolusi keempat.

“Di Malaysia, ia tidak berbeza. Para belia dilahirkan dalam teknologi yang berkembang dan kemajuan yang canggih,” ujarnya. – MalaysiaGazette