Home Sukan Red Devils akhirnya muktamadkan Maguire dengan £85 juta pound

Red Devils akhirnya muktamadkan Maguire dengan £85 juta pound

Manchester United akhirnya berjaya dalam misi merekrut Maguire ke Old Trafford dengan mencapai tawaran £85 juta pound hari ini menerusi rundingan selama dua minggu.

ENGLAND – Manchester United akhirnya berjaya mencapai perjanjian yuran £85 juta Pound untuk bintang pertahanan Leicester City Harry Maguire hari ini.

Dengan perjanjian itu, bintang England itu kini merupakan pemain pertahanan termahal dunia selepas mengikat khidmat menerusi rundingan berterusan selama dua minggu lalu.

Laporan di England difahamkan bahawa the Red Devils akan membayar yuran £80 juta pound terlebih dahulu disusuli baki £5 juta pound kemudian.

Nilai itu memadamkan rekod termahal yang dilengkapkan Liverpool mendapatkan Virgil van Dijk pada Januari 2018 dengan bayaran berjumlah £75 juta pound.

Maguire dijangka menjalani ujian perubatan di Pusat Latihan Carrington, Manchester pada Sabtu sementara United akan menentang AC Milan di Cardiff dalam aksi jelajah pramusim terakhir.

Maguire, 26 menarik diri daripada menyertai skuad the Foxes untuk aksi pramusim menentang Atalanta hari ini disebabkan tidak sihat.

Dua hari lalu, Maguire meluahkan hasrat kepada Pengurusnya Brendan Rodgers untuk berhijrah ke Old Trafford.

Namun the Foxes menolak dua tawaran awal masing masing bernilai £56 juta pound dan £75 juta pound awal minggu lepas sebelum diuji dengan bidaan ketiga bernilai £80 juta semalam dan diberi tempoh masa sehingga Isnin oleh the Red Devils untuk menyatakan keputusannya.

Maguire juga tidak tersenarai dalam video rasmi kelab itu yang disiarkan pada Khamis semalam menghadapi musim baharu Liga Perdana Inggeris yang akan membuka tirai 9 Ogos ini.

Jendela perpindahan pemain dan merekrut pemain baharu akan melabuh tirai 5 petang waktu tempatan di United Kingdom 8 Ogos ini.

Ia sekali gus menambah spekulasi bahawa Leicester sudah bersedia untuk menjual pemain itu dengan nilau pasaran semasa yang lumayan dan adil.

Maguire akan memberi nafas lega kepada skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer yang kehilangan Bailly selama lima bulan sehingga Disember ini akibat kecederaan pada lutut seminggu lepas.- MalaysiaGazette