Home Dunia Iran kurangkan lagi kepatuhan terhadap perjanjian nuklear

Iran kurangkan lagi kepatuhan terhadap perjanjian nuklear

GENEVA – Iran akan mengambil satu lagi langkah untuk mengurangkan kepatuhannya terhadap perjanjian nuklear 2015, demikian menurut Menteri Luar negara tersebut, Mohammad Javad Zarif pada Sabtu tanpa memberi butiran lanjut.

Iran sudah beberapa kali mengulangi kenyataan untuk mengurangkan komitmen mereka terhadap perjanjian nuklear secara berperingkat dan mungkin akan keluar terus daripada pakatan tersebut melainkan negara-negara lain yang menandatangani perjanjanjian berkenaan mencari jalan untuk melindungi negara tersebut daripada sekatan Amerika Syarikat.

“Langkah ketiga dalam mengurangkan komitmen terhadap perjanjian nuklear akan dilaksanakan mengikut situasi semasa.

“Kami sudah beritahu sebelum ini, jika perjanjian tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh negara-negara lain, kemudian kami akan melaksanakannya mengikut cara yang tidak sempurna juga.

“Sudah tentu kesemua tindakan kami masih mengikut rangka kerja (perjanjian),” katanya seperti dipetik Reuters.

Bulan lepas, Iran mengancam untuk memulakan semula deaktivasi pengempar dan meningkatkan ketulenan uranium kepada 20 peratus sekali gus bercanggah daripada perjanjian nuklear yang telah ditandatanganinya.

Pegawai-pegawai kanan Iran memberitu, Tehran bersedia untuk menghentikan semua langkah pengurangan komitmen terhadap perjanjian nuklear asalkan semua negara yang terlibat berpegang kepada janji mereka.-Agensi