KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan semakin menghampiri masa kelayakan ke Sukan SEA Filipina bagi acara 100 meter (m) selepas merekodkan 10.50 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur ke-32, semalam.
Masa kelayakan ke Sukan SEA bagi acara 100m adalah 10.43s.
Pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil itu, Khairul Hafiz yang mewakili Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meraih pingat emas diikuti Muhammad Solihin Jamali dari Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) (10.65s) dan Muhammad Fakhrul Abdul Aziz dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (10.67s) yang masing-masing meraih perak dan gangsa.
Walaupun masih jauh daripada rekod peribadinya iaitu 10.18s namun pelari yang dikenali dengan julukan The Speedy Jantan itu menunujukkan perkembangan positif berbanding penyertaan sulungnya di Sukan Universiti Dunia di Napoli, Itali, bulan lepas.
“Ini aksi kedua saya selepas berehat hampir tujuh bulan, masih banyak perlu saya perbaiki namun saya tetap berpuas hati kerana saya mampu berada di tahap ini hanya dengan enam minggu latihan.
“Bagi saya rekod hari ini (10.50s) sudah cukup bemakna lebih-lebih lagi tiada kecederaan berulang hari ini. Alhamdulillah. Ternyata program yang disediakan jurulatih sangat bagus,” katanya kepada media.
Di Napoli, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur itu sekadar merekodkan masa 10.70s pada peringkat saringan sekali gus gagal ke separuh akhir.
Khairul Hafiz bertanding buat kali pertama di Napoli selepas berehat tujuh bulan kerana mendapatkan rawatan dan pembentukan fizikal dari Institut Sukan Negara (ISN).
Seterusnya, bagi memburu slot ke Sukan SEA Filipina, beliau akan beraksi di Terbuka Malaysia bermula 16-18 Ogos ini dan SIPMA (Sukan Institusi Pendidikan Malaysia) bermula dari 17-24 Ogos.
“Saya tidak rasa tekanan sangat walaupun masih belum layak ke Sukan SEA sebab saya tahu keadaan badan saya yang baharu saja baik dari kecederaan. Saya kena berehat tapi saya akan buat yang terbaik di Terbuka Malaysia nanti,” katanya. – MalaysiaGazette