KUALA LUMPUR – DAP yang berada dalam keadaan dilema berhubung pembelajaran seni khat tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah telah memanggil semua wakil rakyat dan pemimpin parti untuk satu mesyuarat tertutup pada Isnin.
Mesyuarat itu bertujuan memberi kesempatan kepada pemimpin partiĀ memberi penjelasan mengenai isu tersebut, yang seorang sumber parti berpendapat “merupakan masalah terbesar pertama yang menimpa DAP sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.”
China Press melaporkan, ketegasan Kementerian Pendidikan meneruskan rancangan pembelajaran seni khat telah menimbulkan rasa tidak puas hati golongan akar umbi parti.
Rasa tidak puas hati itu mungkin disalurkan dalam pemilihan parti akan datang, sekali gus membawa kepada kejatuhan “pemimpin parti yang dianggap tidak melakukan tugas secara baik.”
Dalam pada itu, DAP juga gagal memujuk rakan dalam PH untuk menarik balik keputusan mengenai seni khat kerana pusingan-U akan menyebabkan parti PH yang lain dilihat sebagai pak angguk kepada DAP.
Isu seni khat justeru terus membakar dalam DAP dan parti itu gagal menenteramkan perasaan akar umbi melalui sesi taklimat kecil-kecilan yang diadakan secara setempat.
DAP juga berbelah kepada dua kelompok dengan yang pertama percaya pembelajaran seni khat sebanyak enam muka surat dalam buku teks tidak akan memberi impak kepada sekolah Cina.
Kelompok dengan pandangan bertentangan pula melihat keputusan pembelajaran seni khat akan membuka satu ruang, yang mana kesannya ke atas sekolah Cina sukar diramalkan. – MalaysiaGazette