Home Nasional Pameran Raja Kita rapatkan lagi hubungan rakyat dengan Agong, Permaisuri

Pameran Raja Kita rapatkan lagi hubungan rakyat dengan Agong, Permaisuri

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan hadir pada Perasmian Pameran Raja Kita sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Muzium Diraja, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Lebih 150 koleksi barangan kebesaran institusi raja dipamerkan pada Pameran Raja Kita yang diadakan di Muzium Diraja di sini sepanjang tempoh tiga bulan berlangsung bermula hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, antara koleksi dipamerkan termasuk alat kebesaran diraja dari Istana Negara, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Istana Pahang, Perbadanan Muzium Pahang, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara selain koleksi Jabatan Muzium Malaysia.

Beliau menjelaskan, pameran tersebut bertujuan memperkenalkan dan merapatkan lagi hubungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Pameran ini sarat dengan pelbagai maklumat berkaitan sejarah, peranan dan kedudukan Institusi Yang di-Pertuan Agong yang diamalkan di negara ini.

“Antara segmen yang dipamerkan termasuklah bidang kuasa baginda, hubungan bersama rakyat serta sisi peribadi baginda Tuanku berdua menerusi hobi dan aktiviti riadah dan kemasyarakatan yang menjadi sangat dekat di hati baginda berdua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Raja Kita yang akan diadakan di Muzium Diraja di sini hari ini.

Majlis perasmian dijadual berlangsung Isnin ini menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Mohamaddin berkata, Pameran Raja Kita merupakan cetusan idea ketika kerajaan merancang untuk melaksanakan Istiadat Pertabalan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada tahun 1980.

Jelas beliau, setahun sebelum itu iaitu pada tahun 1979, satu jawatankuasa pusat yang dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan oleh Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan.

Ujarnya, pada masa itu Jabatan Muzium telah diberi amanah untuk melaksanakan Pameran Raja Kita .

“Justeru, patik sekalian berasa sangat gembira dan berbangga menyaksikan bahawa pada hari ini detik bersejarah Pameran Raja Kita berulang lagi yang mana 39 tahun yang lalu, pameran itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Raja Permaisuri Agong Almarhum Tengku Hajah Afzan Almarhum Tengku Muhammad, yang merupakan bonda kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Maka pada hari ini giliran Seri Paduka pula untuk merasmikan Pameran Raja Kita,” katanya.

Mohamaddin menambah, sepanjang tiga pameran dijalankan, Jabatan Muzium menerusi Muzium Diraja telah merangka beberapa aktiviti pendidikan antaranya Bicara@Muzium, Bicara Galeri dan bengkel-bengkel yang menfokus kepada perkara yang berkaitan dengan Institusi Beraja dan Institusi Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berharap menerusi program itu, lebih banyak maklumat dan pengetahuan dapat dikongsi bersama pihak luar sekali gus menjadikan Muzium Diraja sebagai salah satu pusat rujukan dan destinasi pelancongan.

Sementara itu, Pameran Raja Kita menggunakan pendekatan baharu mesra pengunjung dengan aplikasi teknologi kod realiti terimbuh atau Augmented Reality’ (AR) code, hologram dan interaktif.

Lebih istimewa kalung dan gendik yang dipamerkan secara eksklusif hanya pada hari ini dan pembukaan kepada umum, esok.

Koleksi lain yang dipertontonkan termasuk cogan agama, cogan alam, tengkolok, pending, keris panjang dan sundang yang digunakan pada hari istiadat pertabalan.

Pengunjung juga berpeluang melihat dengan lebih dekat koleksi peribadi antaranya baju kurung kegemaran baginda termasuk baju pernikahan dan persalinan sempena pemansyhuran sebagai Tengku Ampuan Pahang.

Antara lain koleksi peralatan menjahit, memasak serta beberapa tas tangan yang dihadiahkan oleh Seri Paduka. – MalaysiaGazette