Home Nasional Tiada amaran jangan melancong ke Hong Kong

Tiada amaran jangan melancong ke Hong Kong

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berucap pada Majlis Perasmian Pameran Raja Kita sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Muzium Diraja, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, belum ada keperluan untuk kerajaan mengeluarkan amaran kepada rakyat negara ini yang ingin melawat Hong Kong.

Beliau menjelaskan, ini kerana insiden tunjuk perasaan di negara itu baru berlaku selepas penunjuk perasaan mahu melumpuhkan bandar raya itu.

Menurutnya, walaupun penerbangan masuk dan keluar Hong Kong mengalami gangguan, mereka yang ingin pergi ke sana masih boleh menggunakan hubungan laluan.

“Amaran tidak perlu dikeluarkan lagi kerana mereka yang ingin ke Hong Kong tidak hanya menggunakan laluan udara, sebaliknya pelbagai hubungan lain seperti darat.

“Jadi saya tidak fikir kehadiran pelancong dari Hong Kong ke negara ini akan terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis perasmian Pameran Raja Kita oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Muzium Diraja di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Mohamaddin diminta mengulas insiden tunjuk perasaan yang semakin buruk pagi ini di Hong Kong yang menyebabkan berpuluh-puluh penerbangan tertangguh.

Pihak berkuasa berusaha untuk menjadualkan semula pada pukul 12 tengah hari dan mengurangkan pelepasan dan pendaratan pesawat.

Penunjuk perasaan didakwa mensasarkan rangkaian pengangkutan utama dan perkhidmatan keretapi laju telah digantung disebabkan ada halangan pada platform. – MalaysiaGazette