KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) digesa memasang lampu di Jalan Persekutuan dari Sungai Besar menghala ke Sekinchan khususnya di kawasan projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) bagi mengelakkan kemalangan.
Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, ketiadaan lampu jalan di kawasan terbabit khususnya penghadang jalan yang diletakkan kontraktor projek terbabit boleh membahayakan nyawa orang ramai.
“Pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil perhatian terhadap keselamatan pengguna. Lampu tidak dipasang di penghadang jalan. Ini amat mengelirukan dan boleh menyebabkan kemalangan.
“Sama ada pengguna jalan raya akan melanggar penghadang tersebut atau mereka akan memasuki kawasan pembinaan atau terus menjunam ke dalam parit.
“Di banyak tempat keadaan adalah gelap gelita, hitam pekat. Sehubungan itu saya menggesa pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera sebelum berlaku sebarang kemalangan jiwa,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.
WCE sepanjang 233 km dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM5.044 bilion dengan RM3.122 bilion adalah kos bagi pakej pembinaan di Selangor manakala RM1.922 bilion lagi membabitkan pakej pembinaan di Perak.
Lebuh raya itu yang bermula di Banting, Selangor, berakhir di Changkat Jering dekat Taiping, dengan pemandu kenderaan yang menggunakan WCE boleh terus ke utara menggunakan laluan PLUS yang bersambung dengan lebuh raya itu. – MalaysiaGazette