KUALA LUMPUR – Penyanyi yang cukup berbakat, Faizal Tahir, nekad tidak lagi menghasilkan album pada masa akan datang.
Faizal berkata, beliau perlu mengikut arus perubahan dalam industri ini apabila jualan album pada masa kini semakin merundum.
Walabubagaimanapun keputusan itu ujarnya tidak bermakna Faizal akan menamatkan karier nyanyinyannya.
“Setiap yang bermula pasti ada pengakhirannya dan setiap pengakhiran juga adalah sebuah permulaan yang baharu. Saya bukan cakap yang saya dah bersara dalam bidang muzik, sebaliknya hanya berhenti daripada hasilkan album.
“Jadi, selepas ini saya ambil pendekatan dengan mahu menghasilkan ‘single by single’ sahaja dan akan terus menyanyi seperti biasa,”katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Rojak di pejabat Warner Music Malaysia, Neo Damansara baru-baru ini.
Justeru itu, Rojak yang dilancarkan baru-baru ini adalah album terakhir daripadanya.
“Walaupun Rojak menjadi album terakhir, tetapi saya masih lagi akan terus berkarya untuk menghasilkan lagu-lagu untuk penyanyi lain juga.
“Alhamdulillah, Tuhan telah beri kelebihan untuk saya mencipta lagu agar saya boleh terus berkarya pada masa akan datang,”ujarnya.
Rojak menampilkan sebanyak sembilan buah lagu iaitu Ragaman, Ratu, Starfeather, Kamu, Bisa Aja, Malaysia, This Is Anfield, Until We Meet Again dan lagu tema filem BoboiBoy Movie 2, Fire & Water.
Kesemua lagi dalam album tersebut menurutnya lagi boleh didapati di semua platform digital eperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan iTunes sejak 2 Ogos lalu. MalaysiaGazette