Home Ekonomi UMNO atau proksi tiada kepentingan dalam MyEG

UMNO atau proksi tiada kepentingan dalam MyEG

Penyedia perkhidmatan digital MY E.G. Services Bhd (MYEG) akan memperkenalkan ujian saringan COVID-19 menggunakan persampelan air liur di rumah bermula 1 Mac ini.

KUALA LUMPUR – My EG Services Bhd (MyEG) menafikan bahawa UMNO mahupun proksi parti itu mempunyai kepentingan besar dalam syarikat tersebut.

Syarikat itu mendakwa laporan sebuah media baru-baru ini adalah “salah, spekulatif dan tidak berasas” sama sekali.

“MyEG tidak ada, sama ada pada masa lalu atau pada masa ini, apa-apa pegangan saham utama yang dipegang oleh UMNO atau mana-mana parti politik di Malaysia, sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui proksi,” kata syarikat itu dalam satu notis kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Norraesah Mohamad sebelum ini bersama-sama memiliki pegangan saham secara tidak langsung di MyEG melalui Asia Internet Holdings Sdn Bhd (AIHSB), bersama pengasas MyEG dan pengarah urusan Wong Thean Soon.

“Seperti mana-mana pemegang saham/pelabur individu persendirian lain, pemilikan saham MyEG oleh Norraesah sepenuhnya dalam kapasiti peribadinya sebagai orang perniagaan dan pelabur swasta, selepas mempertimbangkan merit pelaburan, prestasi dan prospek syarikat itu. pengetahuan dan tidak pernah melihat apa-apa bukti kepentingan Norraesah dalam MyEG adalah bagi pihak mana-mana pertubuhan politik atau orang,” kata notis itu.

MyEG memberi maklum balas itu susulan laporan The Edge Malaysia yang mendakwa UMNO atau proksinya memiliki kepentingan saham dalam syarikat itu kerana Norraesah pernah menjadi Senator UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Artikel itu mendakwa sejumlah 1.03 bilion saham MyEG bernilai RM1.7 bilion yang dilupuskan pada 25 Julai lalu oleh Norraesah adalah tidak tepat dan faktanya tidak betul.

Malah, MyEG berkata, tidak ada pelupusan seumpama itu.

Syarikat itu menjelaskan bahawa kepentingan Norraesah dalam MyEG berakhir disebabkan penamatan kepentingannya dalam AIHSB, yang mana kekal sebagai pemegang saham MyEG sebanyak 23.25 peratus sehingga kini – mewakili kepentingan tidak langsung Wong dalam MyEG.

“Tidak ada pada masa itu terdapat sebarang penzahiran yang menunjukkan sebarang urus niaga langsung saham MyEG berjumlah kira-kira 1 bilion saham bernilai RM1.7 bilion, sama ada oleh Norraesah atau AIHSB,” tambah MyEG. – MalaysiaGazette