Home Ekonomi Perodua lancar Myvi generasi ketiga di Mauritius

Perodua lancar Myvi generasi ketiga di Mauritius

Orang ramai menyaksikan model Myvi generasi ketiga yang dipamerkan di Swami Vivekananda International Conference Centre, Mauritius.

PORT LOUIS – Perodua telah melancarkan Perodua Myvi generasi ketiga dalam varian 1.3 G AT dan 1.5 H AT, di Mauritius.

Model tersebut ditawarkan pada harga 699,000 (RM81,300) dan 775,000 (RM90,140) rupee Mauritius atas jalan termasuk insurans.

Pengedar tempatan, Raouf Dusmohamud & Co Ltd, telah mempamerkan Perodua Myvi di Defi Media Motor Show yang berlangsung di Swami Vivekananda International Conference Centre pada hujung minggu yang lalu.

“Perodua Myvi generasi ketiga ini telah diterima baik di Malaysia dan kami percaya rakyat Mauritius akan tertarik kepada ciri-ciri yang terdapat pada model ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Perodua berhasrat untuk mengeksport 3,270 kenderaan pada 2019 – peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding 2,184 unit tahun lepas.

Setakat tahun ini, Perodua i telah menjual lebih 1,600 unit di luar Malaysia dan melancarkan Myvi dan Axia masing-masing di Singapura dan Seychelles.

“Penampilan sulung Myvi di Mauritius akan mendekatkan kami kepada sasaran eksport akhir-tahun kami dan secara tidak langsung meningkatkan jenama Perodua di peringkat antarabangsa, memandangkan Mauritius terkenal sebagai destinasi pelancongan yang popular,” katanya.

Mauritius adalah pasaran eksport ketiga bagi Myvi generasi ketiga selepas Indonesia (yang mana ia dijual sebagai Daihatsu Sirion) dan Singapura.

Negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi itu merupakan antara pasaran luar negara Perodua yang paling lama.
Hampir 2,400 kenderaan Perodua telah dijual di sana sejak 1996, termasuk Kancil, Rusa, Kembara, Kenari, Kelisa, Myvi generasi pertama dan kedua, Viva dan kini Alza, Axia dan Bezza. – MalaysiaGazette