SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyambut baik kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam mengenai tiada langkah pencukaian baharu dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan.
Menterinya, Datuk Darell Leiking menyifatkan perkara itu sebagai berita baik untuk kalangan industri yang sebaliknya boleh memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan prestasi masing-masing.
“Bagaimanapun biarlah kita tunggu butiran lanjut yang dimaksudkan oleh Lim dan kita berharap lebih banyak berita baik diumumkan apabila belanjawan itu dibentangkan kelak,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Menteri MITI di SIRIM Bhd di sini, hari ini.
Mengulas kenyataan Lim mengenai langkah luar jangka jika pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China kian meruncing, Darell berkata ini akan membabitkan Kementerian Kewangan dan MITI akan dimaklumkan mengenai cara pengurangan dari segi perdagangan dan pelaburan.
Menurutnya, ini berikutan AS dan China merupakan rakan dagang utama dengan Malaysia.
“Mereka membeli daripada kita dan begitulah sebaliknya. Apabila mereka menyebut mengenai keperluan mencari jalan penyelesaian, ini harus dilakukan secepat mungkin kerana ia soal tanggung jawab mereka kepada kita. Saya melihatnya sebagai satu tanggung jawab global.
“Bagi saya, jika mereka ada masalah maka mereka juga bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian. Bukan sahaja untuk mereka tetapi demi (kepentingan) dunia kerana kita adalah sebahagian daripada rantaian nilai dan bekalan mereka,” katanya.
Selain itu, menyentuh penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 yang dihoskan Malaysia, Darell menegaskan usaha itu memerlukan kerjasama kementerian dan 11 agensi di bawahnya bagi menjayakan acara itu.
“Prestasi dan kejayaan itu akan dinilai dan dalam perkara ini, ia mencerminkan bagaimana MITI dan agensinya saling bekerjasama demi negara,” katanya.
Mengulas kemajuan APEC setakat ini, beliau berkata MITI akan memulakan usaha itu pada November ini dengan mesyuarat terakhir di Santiago, Chile yang turut menyaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih kerusi sebagai Pengerusi APEC dari Presiden Chile.
Malaysia akan mengadakan mesyuarat pertama APEC sekitar Disember, termasuk mengumumkan logo acara serta perincian program terbabit. – MalaysiaGazette