Home Dunia Berperang dengan Iran jadi ibu segala perang

Berperang dengan Iran jadi ibu segala perang

Hassan Rouhani. Foto Agensi

GENEVA –  Perang dengan Iran adalah ibu kepada semua peperangan, kata Presiden Iran, Hassan Rouhani yang memberi amaran menerusi siaran langsung di rangkaian televisyen negara itu.

Beliau turut memberi amaran sekali lagi bahawa kapal mungkin tidak selamat jika berada di perairan Selat Hormuz.

Ketegangan telah meningkat antara Iran dan barat sejak tahun lepas apabila Amerika Syarikat menarik balik perjanjian antarabangsa dalam usaha mengekang pogram nuklear Iran dan sebagai balasan sekatan ekonomi ke atas Iran dilonggarkan.

“Perdamaian dengan Iran adalah ibu kepada semua keamanan, perang dengan Iran adalah ibu kepada semua peperangan,” kata Rouhani di Kementerian Luar Negeri dalam ucapannya yang juga memuji Menteri Luar Mohammad, Javad Zarif yang mana negara itu telah dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat pada 31 Julai lalu.

Rouhani menegaskan, jika Amerika Syarikat mahu mengadakan rundingan dengan Iran, negara itu mesti melepaskan semua sekatan yang dikenakan dan dibenarkan mengeksport minyak.

Pengawal Revolusi Iran telah merampas kapal tangki British, Stena Impero berhampiran Selat Hormuz pada Julai lalu kerana didakwa melakukan pelanggaran marin, dua minggu selepas pasukan British menawan sebuah kapal tangki minyak Iran berhampiran Gibraltar selepas dituduh melanggar sekatan terhadap Syria.

“Selat untuk selat. Tidak boleh Selat Hormuz bebas untuk anda dan Selat Gibraltar tidak bebas untuk kami,” kata Rouhani.

Dianggarkan satu per lima trafik minyak dunia melalui Selat Hormuz. – MalaysiaGazette