Home Nasional Pengenalan tulisan khat untuk SJK Tahun 4 hasil konsep kurikulum 2014

Pengenalan tulisan khat untuk SJK Tahun 4 hasil konsep kurikulum 2014

Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pengenalan tulisan khat dalam Bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tahun 4 pada tahun hadapan adalah hasil daripada pengkonsepsian Kurikulum Sekolah Rendah pada tahun 2014.

Ia juga telah melalui pemetaan kurikulum Tahap 1 pada tahun 2015.

Menurut KPM, pemetaan kurikulum itu merangkumi pembinaan kurikulum Tahap 1.

“Pada tahun 2016 hingga 2017, pembinaan kurikulum Tahap 2 pula dilaksanakan.

“Ini bermakna, penggubalan Dokumen Standard Kurikulum & Pentaksiran (DSKP) melibatkan pengenalan tulisan khat ini telah mengambil masa sejak tahun 2014 lagi,” katanya dalam kenyataan.

Tambah kenyataan itu, usaha itu juga telah melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa dan pendidikan serta kajian rintis di sekolah-sekolah terpilih.

KPM menegaskan, pengenalan tulisan khat itu tidak akan membebankan guru dan murid kerana ianya tidak akan diuji dalam peperiksaan dan tiada pentaksiran. – MalaysiaGazette