Home Laporan Haji 2019 Pasukan 911 Arab Saudi pantas tangani aduan

Pasukan 911 Arab Saudi pantas tangani aduan

Suasana bilik kawalan di ibupejabat Kawalan 911 Arab Saudi di Mekkah. foto RADZUAN HASSAN, 06 OGOS 2019.

MEKAH – Sekiranya anda jemaah haji dan mengalami masalah di Mekah atau di mana-mana kawasan di Arab Saudi – anda hanya perlu menghubungi talian tempatan 911.

Sebaik sahaja panggilan anda diterima, lokasi dan nombor telefon anda akan direkod dan pihak pusat kawalan akan menghantar bantuan.

Tidak kira sama ada anda tersesat, kemalangan atau ditimpa sebarang kecelakaan, bantuan akan sampai secepat mungkin.

Malah jika bahasa menjadi penghalang, pusat kawalan mempunyai pegawai terlatih dalam pelbagai bahasa utama termasuk Bahasa Malaysia untuk menerima aduan anda.

MGF06082019_BILIK KAWALAN 911 MEKAH_05
Suasana bilik kawalan di ibupejabat Kawalan 911 Arab Saudi di Mekkah. foto RADZUAN HASSAN, 06 OGOS 2019.

Komandan Pusat Kawalan 911 Arab Saudi, Mejar Jeneral Abdul Rahman Mohammed Al Saleh berkata, pemanggil hanya perlu membuat panggilan kemudiannya semuanya diuruskan pihaknya.

“Jika aduan dibuat kami akan memanjangkannya kepada pihak berkuasa terlibat termasuk polis di kawasan berhampiran untuk membantu anda,” katanya lagi.

Di Ibupejabat Pusat Kawalan 911, mereka menerima purata 45,000 panggilan setiap hari dan diproses lebih 150 kakitangan dalam satu syif.

Menjadikan proses lebih cepat, di bangunan yang sama turut disediakan bilik operasi setiap agensi seperti polis, tentera, pihak hospital dan sebagainya untuk bertindak.

“Malah jika sesuatu keadaan memerlukan bantuan polis pengiring juga kami di 911 akan menguruskannya,” katanya.

Sementara itu, Komander Pusat Kawalan Musim Haji, Jeneral Khalid Talshah pula memaklumkan peralatan dan teknologi yang dimiliki antara yang termoden di dunia sekarang.

MGF06082019_BILIK KAWALAN 911 MEKAH_04
Komander Pusat Kawalan 911, Jeneral Khalid Thalsah (tengah) dan Komander 911 Arab Saudi, Mejar Jeneral Abdul Rahman Al Salleh (kiri) bersama pegawai kanan lain semasa taklimat kepada wakil media di Mekkah. foto RADZUAN HASSAN, 06 OGOS 2019.

Pihaknya juga mempunyai kakitangan yang berpengalaman dan mahir.

“Bagi musim haji seperti sekarang kami menerima tambahan sampai 70,000 panggilan setiap hari dan walaupun begitu kami menyasarkan setiap aduan akan disampaikan dalam tempoh 45 saat sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, program meninjau pemandangan udara bersama tentera udara Arab Saudi dibatalkan kerana cuaca kurang baik hari ini.- MalaysiaGazette