NEW YORK – Wanita paling disayangi di Amerika Syarikat (AS), Toni Morrison yang juga merupakan pemenang anugerah berprestij dunia, Hadiah Nobel Sastera meninggal dunia malam tadi waktu tempatan.
Agensi melaporkan, Morrison yang juga merupakan wanita kulit hitam pertama menerima anugerah nobel itu berusia 88 tahun dan berada di samping keluarga ketika menghembuskan nafas terakhirnya di pusat perubatan Montefiore, New York.
Kematian beliau yang diumumkan oleh penerbit bukunya, Alfred Knopf dalam kenyataan memaklumkan, mendiang meninggal akibat komplikasi radang paru-paru.
BekasPresiden AS, Barrack Obama yang pernah menganugerahkan ‘Pingat Khas Presiden’ antara yang pertama melahirkan dukacita selain ucapan takziah sebentar tadi.
Bagi Obama, kematian Morrison merupakan satu kehilangan yang tidak mungkin dapat dicari ganti malah satu khazanah negara dengan bakat beliau sebagai seorang pencerita hebat dalam buku-bukunya.
“Karya beliau cukup indah seolah-olah tidak ada kata-kata, memberi kesedaran serta imaginasi luar jangkauan dan penuh dengan nilai moral. Hadiah paling berharga adalah bernafas bersamanya ketika beliau masih hidup,” tulis Obama dalam Twitter.
Morrison telah menghasilkan 11 buah novel yang rata-ratanya menyentuh kehidupan masyarakat kulit hitam di AS yang begitu dikagumi kerana cara penceritaan beliau menyentuh jiwa dan hati sesiapa sahaja.
Selama lebih enam dekad, Morrison telah mendapat pelbagai pengiktirafan dalam bidang kesusasteraan dunia berikutan karya-karya beliau yang unggul itu.
Selain daripada novel berkisarkan masyarakat kulit hitam, Morrison yang menulis puisi, sajak, cerpen, ucapan juga berkisarkan kehidupan semasa malah ada kalanya tulisan beliau menyentuh isu-isu politik tanpa sedikit pun rasa gentar.
Tulisan beliau juga menyentuh hak-hak asasi yang mendapat pujian dunia kerana banyak bercerita tentang kehidupan hamba abdi serta penderitaan masyarakat itu secara khasnya.
Morrison menang Anugerah Pulitzer dan Anugerah Buku Amerika pada 1988 untuk karya 1987 bertajuk ‘Beloved’ yang berlatarbelakangkan perang saudara AS sekitar 1860-an.
Itu merupakan kisah benar seorang seorang hamba yang melarikan diri dari Kentucky ke Ohio, cerita itu kemudian di adaptasikan kepada filem lakonan Danny Glover dan Oprah Winfrey.
Morrison mendapat pelbagai anugerah termasuklah Hadiah Nobel Sastera pada 1993 mula menulis ketika usianya sudah mencecah 40 tahun dengan novel pertama, ‘The Bluest Eye’.
Bagaimanapun, Morrison yang pernah menjadi pensyarah kreatif di Universiti Princeton itu juga pernah melalui pelbagai pahit getir termasuk kehilangan anak lelaki kesayangannya kerana kanser pankreas ketika usia 45.
Sejak itu, Morrison juga seolah-olah hilang sinarnya namun tetap menulis secara kecil-kecilan namun banyak menyepikan dirinya. –MalaysiaGazette