LOS ANGELES – Jutawan paling di kehendaki oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) yang menghilangkan diri dan menjadi buruan lebih empat tahun akhirnya berjaya diberkas di Mexico hari ini waktu tempatan.
Agensi melaporkan, Peter Chadwhick warga Britain yang tinggal di AS sekian lama serta berjaya membina empayer perniagaan dalam bidang hartanah didakwa bertindak membunuh isterinya yang sudah dikahwini lebih 21 tahun.
Wanita tersebut, Quee Choo Lim bukan sahaja dicekik sehingga mati malah mayatnya dibakar sebelum Chadwhick menghubungi pihak berkuasa dan membuat ‘cerita’ kononnya salah seorang pekerjanya bertindak demikian.
Bagaimanapun, hasil siasatan ketika itu mendapati Chadwhick sebenarnya berbohong dan sebenarnya telah membunuh isterinya berdasarkan kesan calar pada leher dan darah kering pada kukunya.
Chadwhick yang kemudian mengakui perbuatan keji itu membawa pasukan penyiasat ke sebuah tempat pembuangan sampah di San Diego, California, lokasi beliau menyembunyikan mayat terbabit.
Chadwick dituduh mencekik isterinya ketika bertengkar mengenai isu kewangan dan mereka dipercayai dalam proses untuk bercerai.
Lelaki itu kemudian dibebaskan pada Disember 2012 selepas membayar bon sebanyak AS$1 juta (RM4.18 juta), selain dikehendaki menyerahkan pasport Amerika Syarikat dan Britain miliknya.
Bagaimanapun, pada 2015, beliau berjaya melarikan diri ke Mexico dan tinggal di negara itu sehinggalah ditahan pihak berkuasa untuk hadir ke perbicaraan pembunuhan tersebut.
Menurut Pendakwa Raya Daerah Orang County, Tod Spitzer, pihaknya cukup berpuas hati orang buruan paling dikehendaki negara akhirnya dapat dicekup dan dibawa ke muka pengadilan.
“Hari ini amat menggembirakan. Kami berjaya menahan orang buruan yang tersenarai dalam senarai orang paling dikehendaki oleh AS.
“Tidak ada sesiapa yang perlu lupa ini adalah satu kes menyedihkan, isterinya yang sudah di kahwini selama 21 tahun dan mempunyai 3 orang anak melalui hasil perkahwinan ini telah di bunuh kerana isu wang,” tegasnya. –MalaysiaGazette