Home Nasional Pemandu e-hailing disyaki lemas di air terjun Chamang

Pemandu e-hailing disyaki lemas di air terjun Chamang

PDRM custodial deaths death lockup police
PDRM

KUANTAN – Seorang pemandu e-hailing disyaki lemas akibat dibawa arus deras air terjun Chamang, Bentong dekat sini, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Yusuf Unis berkata Wan Khairul Amirin Rojiham, 25, yang berasal dari Jeram, Selangor dipercayai datang ke air terjun itu bersama tiga rakan untuk berekreaksi.

“Mangsa dan rakannya dipercayai mula mandi sekitar pukul 6.30 petang sebelum dia dikatakan dibawa arus deras kira-kira 45 minit kemudian.

“Rakan mangsa mendakwa cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal kerana arus deras selain mangsa hilang daripada penglihatan secara tiba-tiba,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Yusuf berkata orang awam yang melihat kejadian segera menghubungi polis dan operasi mencari dan menyelamat dimulakan malam tadi sebelum dihentikan kerana cuaca semakin gelap.

Katanya, operasi bersambung pagi ini, melibatkan 28 anggota terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan anggota bomba sukarela Perting di Bentong.

— BERNAMA