KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd (PROTON) melancarkan versi terkini Saga 2019 yang menampilkan ciri-ciri menarik dalam tiga varian pada harga bermula RM32,800 seunit (Standard MT), RM35,800 (Standard AT) dan RM39,800 (Premium AT).
Pelancaran model yang sinonim dengan Proton dan disuntik rekaan dan ciri terkini, telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking pada satu majlis semalam.
Digabungkan dengan pengurangan harga dan nilai ciri-ciri baharu dalam setiap varian, Saga 2019 Premium AT 1.3L memberi nilai tambahan sebanyak RM3,747 berbanding model sebelum ini.
Bagi varian Standard AT 1.3L pula membabitkan penjimatan sebanyak RM2,043 dan Standard MT1.3L dengan nilai tambahan sebanyak RM2,291.
Versi terbaharu model ikonik dan terlaris PROTON itu disuntik dengan ciri-ciri seperti gaya baharu, kotak gear automatik empat kelajuan dan ciri pintar pertama dalam kelasnya yang tidak hanya membeza Saga dengan pesaing, tetapi turut meningkatkan nilainya.
Di bahagian luar, Saga dilengkapi bampar hadapan baharu lebih agresif dengan lampu nyalaan siang, bahagian gril dengan corak ‘infinitive weave’ yang diperkenalkan sebelum ini dalam model PROTON X70, Iriz dan Persona 2019 manakala rekaan belakangnya dihiasi spilet belakang dengan paparan nama PROTON di bahagian penutup but.
Antara ciri menarik di bahagian dalamnya adalah skrin sesentuh 7-inci bagi model premium dengan sambungan Bluetooth serta telefon pintar untuk Android, bantuan pemanduan Eco dan sehinga 3 tempat cucuk USB.
Dari segi mekanikal, perubahan paling besar merupakan transmisi automatik empat kelajuan baharu menggantikan CVT sebelum ini dan barisan jurutera Proton menyuntik peningkatan prestasi brek, tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH) serta keseimbangan pemanduan dan pengendalian selain menambah tahap keselamatan berkelas dunia.
Sama seperti model X70 dan Iriz 2019, Persona dan Exora, Proton Saga 2019 Saga itu turut ditawarkan dalam pakej nilai tambahan dengan pakej servis merangkumi kos pekerja percuma sebanyak tiga kali atau selama setahun.
Selain itu, ia turut menawarkan pakej kadar faedah dengan pembiayaan serendah 2.98 peratus setahun serta pakej insurans pelbagai manfaat untuk pelanggan yang menginsuranskan pembelian baharu dengan panel Proton.
— BERNAMA