KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah memberikan ‘amaran’ kepada pemimpin parti itu supaya mengunci mulut daripada mengeluarkan kenyataan berkaitan isu pengenalan tulisan khat adalah tidak benar sama sekali.
Malah ada juga tuduhan yang mengatakan Guan Eng yang juga merupakan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Bagan telah memberikan kata dua kepada partinya supaya memberikan keutamaan kepada kaum lain berbanding masyarakat Cina adalah pembohongan semata-mata.
Itu adalah luahan Ahli Parlimen Bukit Gelugor merangkap Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh berhubung laporan media yang juga menyebut Guan Eng berkata demikian ketika mesyuarat tergempar Isnin lepas.
“Saya ada pada mesyuarat itu, tidak ada satu yang di dakwa itu benar sebaliknya Guan Eng telah memberikan kebebasan sepenuhnya kepada semua ahli parti untuk berbicara secara terbuka apa yang terbuku dalam fikiran dan hati masing-masing.
“Saya juga tidak ingat beliau menyebut dirinya tidak gembira dengan kenyataan tertentu oleh pimpinan parti yang menyebabkan parti dalam dilema dan di ambang kontroversi.
“Malah saya juga tidak ingat beliau berkata kenyataan-kenyataan itu menyebabkan ada pihak ingat DAP menentang Jawi secara keseluruhan, semua ini tidak berlaku langsung.
“Kami langsung tidak di minta untuk berjaga-jaga dan berhati-hati ketika melontarkan pandangan, ini semua tidak betul langsung,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook beliau.
Tambah Ramkarpal, memang ada kebenaran setelah bermesyuarat hampir lima jam, parti membuat keputusan akan mengeluarkan kenyataan media rasmi berhubung pendirian DAP dalam isu pengenalan khat.
“Saya sebenarnya kecewa, siapakah sebenarnya sumber berita ini yang mungkin dalam kalangan pimpinan sendiri yang lebih rela bersembunyi daripada mendedahkan maklumat seperti ini secara terbuka.
“Sangat sedih untuk melihat ada pemimpin sanggup merosakkan imej parti dengan memberikan maklumat tidak tepat tentang parti kepada media seperti ini, saya terpanggil untuk membetulkan kenyataan ini,” terangnya.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer juga melahirkan perasaan yang sama berhubung perkara ini dengan mendedahkan pimpinan tertinggi khasnya Guan Eng tidak pernah sesekali mengeluarkan menyekat kebebasan mana-mana ahli dalam isu tersebut.
“Kita ada semua ada perbincangan yang sangat produktif dan cukup mendalam sambil mengambil kira pandangan semua pihak tanpa ada apa-apa ‘pilih bulu’. DAP sentiasa demokratik dan amalkan kebebasan ini sejak dulu lagi. Ini adalah berita tidak benar,” tegasnya.
Pengenalan tulisan khat atau jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidikan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan menerusi Menterinya, Dr Maszlee Malik menegaskan untuk terus melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.
Senada dengan Maszlee, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulangi komitmen untuk meneruskan langkah tersebut dengan menganggap tentangan yang diterima hanya daripada segelintir pemimpin DAP. –MalaysiaGazette