Home Nasional Kes kerugian scam cecah RM2 bilion

Kes kerugian scam cecah RM2 bilion

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berucap pada program Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial di Menara KPJ, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kes penipuan jenayah komersial di negara ini mengalami kerugian secara purata RM2 bilion setahun sejak 2015 hingga Disember 2018 lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,Komisioner Datuk Seri Zakaria Ahmad berkata, jumlah kerugian agak tinggi itu melibatkan pelbagai jenayah komersial seperti Scam cinta, e-dagang atau pembelian atas talian dan penipuan telekomunikasi, selain pinjaman tidak wujud dan penipuan skim pelaburan.

Jelas beliau, Love Scam dan e-Dagang merekodkan kes penipuan tertinggi melibatkan rakyat negara ini sehingga ada ahli perniagaan kerugian sehingga RM3.6 juta akibat pelaburan palsu.

“Sindiket scammer ini bijak memakai dan menukar kad sim prabayar dua tiga kali dan tidak mendaftarkan nama dan maklumat identiti sebenar seperti yang pernah dikuatkuasakan kerajaan beberapa tahun lalu.

“Inilah yang mengakibatkan penipuan telekomunikasi apabila sindiket menipu mangsa menerusi panggilan spoofing dengan memperdaya dan memaksa memindahkan wang kepada pihak ketiga dan membuka peluang penjenayah akses kepada akaun perbankan data peribadi mangsa,” katanya semasa menutup Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial di ibu Pejabatnya di Jalan Tun Razak tengahari tadi.

Beliau juga menyatakan rasa terkilan di hadapan 183 peserta pelbagai agensi pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan pengguna bagaimana kebocoran data sebegitu boleh berlaku dan jatuh di tangan sindiket penipuan jenayah komersial di negara ini.

“Kita bukannya pernah memberitahu butiran kad atau maklumat peribadi lain perbankan, tapi tak tahu bagaimana dia boleh perolehi segala data peribadi kita dan terus menggunakan telekomunikasi untuk memperdaya mangsa.

“Polis akan serius menyemak dan siasat bagaimana scammer boleh memiliki data peribadi dan maklumat perbankan kad mangsa dan melesapkan wang mereka

“Kebanyakan senario sindiket itu menggunakan kad ATM kita dengan taktik menjual produk perlindungan insurans bank. Jadi pihak bank perlu memperketatkan segera perlindungan dan kawalan data peribadi pelanggan mengelak jatuh ke tangan scammer,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria mengakui berlaku pembocoran data membabitkan kad debit dan kredit seperti mana dilaporkan sejak akhir-akhir ini secara besar besaran di Kanada dan India.

Malah katanya, motif scammer memperdaya dan melesapkan wang mangsa demi keuntungan diri dan tidak ada kena mengena dengan sebarang motif menyalurkan wang kepada unsur keganasan dan sebagainya.

Dalam pada itu, Zakaria juga menyatakan bahawa dalam tempoh enam bulan pertama bermula Januari 2019, kes jenayah siber mencatatkan kerugian hampir RM250 juta untuk Polis hasil 5,069 kes yang dilaporkan mangsa.

Katanya, susulan laporan itu, seramai 1,973 individu dipercayai terlibat dalam penipuan berkenaan telah berjaya dicekup bagi membantu siasatan polis komersial.

Beliau juga memberi peringatan kepada pengguna media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan sebagainya supaya berhati-hati ketika membeli barangan dalam talian menerusi kaedah pembayaran semasa penghantaran (Cash On Delivery) untuk mengelak penipuan.

Zakaria turut berkongsi kes seorang pemandu teksi wanita berusia 68 tahun yang kerugian RM800,000 akibat terpedaya dengan sindiket scam dari Singapura, yang seharusnya menjadi pengajaran supaya tidak mudah terpedaya dengan wajah hantu yang tidak dikenali atau ditemui itu.

Menyedari beban kes yang semakin tinggi, JSJK mengambil pendekatan agresif untuk menyelesaikan setiap aduan penipuan dengan terus dicaj di mahkamah.

“Kalau kes khusus melibatkan mangsa satu, dua tidak mengapa, tetapi peningkatan kes scammer ini kebanyakannya melibatkan wang ratusan atau ribuan ringgit serta kebijaksanaan sindiket dalam pengendalian teknologi mencabar kita,” ujar beliau. – MalaysiaGazette