KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah berikutan aktiviti jualan di pasaran meluas terutamanya membabitkan saham wajaran tinggi yang diterajui oleh Genting dan Public Bank.
Indeks penanda aras itu yang dibuka 0.69 mata lebih rendah pada 1,611.1, turut berlegar dalam lingkungan paras 1,602.8 dan 1,611.48 sepanjang dagangan hari ini.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 499 berbanding 313 manakala 402 kaunter tidak berubah, 674 tidak didagangkan dan 19 lain digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 2.57 bilion unit bernilai RM2.56 bilion berbanding 3.13 bilion unit bernilai RM2.62 bilion pada Selasa.
Sentimen pasaran secara menyeluruh turut dijejaskan oleh perkembangan membabitkan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata ketidaktentuan mengenai perang dagangan tersebut telah memberi kesan jangka pendek ke atas pasaran Malaysia yang turut menyebabkan penyusutan nilai ringgit dan harga minyak dengan sebahagian besar pelabur memilih berada di luar pasaran.
“Kami tidak terkejut dengan perubahan yang berlaku itu berdasarkan rasional bahawa peruncit akan membeli pada harga murah manakala pelabur institusi pula menumpukan usaha mengumpulkan rizab tunai.
“Oleh kerana perang dagangan itu kian meruncing, kami menjangkakan kelemahan pasaran domestik terus ketara berikutan kebimbangan mengenai bentuk tindak balas AS yang hanya memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Nazri Khan berkata FBM KLCI juga dijangka menyaksikan pemulihan daripada aktiviti jualan ketara daripada paras sokongan psikologi 1,600, dipacu oleh aktiviti belian pada harga rendah dan jualan berlebihan di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan AS-China.
“Secara keseluruhannya, terdapat aliran peningkatan jangka pendek bagi FBM KLCI ekoran pemulihan selepas jualan berlebihan dan aktiviti mencari saham berharga rendah walaupun terdapat petunjuk amaran yang kian ketara di peringkat luaran,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Genting Malaysia rugi 43 sen kepada RM3.18, Genting Bhd susut 47 sen kepada RM6.18, Public Bank merosot 32 sen kepada RM21.28, Petronas Chemicals turun lapan sen kepada RM7.29 dan Hartalega kehilangan satu sen kepada RM5. 04.
Maybank sebaliknya menokok satu sen kepada RM8.60, IHH Healthcare untung tujuh sen kepada RM5.75, Axiata meningkat enam sen kepada RM4.89 manakala TNB dan CIMB tidak berubah pada RM13.84 dan RM5.06.
Bagi saham aktif, KNM naik satu sen kepada 39.5 sen, Eduspec untung 1.5 sen kepada 6.5 sen manakala Netx, Bumi Armada dan Impiana Hotels masing-masing menambah setengah sen kepada dua sen, 22 sen dan tiga sen.
Indeks FBM Emas susut 33.09 mata kepada 11,359.4, Indeks FBMT 100 merosot 31.06 mata kepada 11,195.61 manakala Indeks FBM Emas Syariah naik 31.05 mata kepada 11,836.16.
FBM 70 pula meningkat 36.56 mata kepada 14,185.85 dan FBM Ace berkurangan sebanyak 39.72 mata kepada 4,578.14.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 30.28 mata kepada 15,781.11, Indeks Perladangan naik 49.17 mata kepada 6,629.32 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.94 mata kepada 150.9.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.58 bilion saham bernilai RM2.39 bilion daripada 2.03 bilion saham bernilai RM2.38 bilion pada Selasa.
Waran berkurangan kepada 506.23 juta unit bernilai RM110.52 juta berbanding 645.99 juta unit bernilai RM161.38 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 482.21 juta saham bernilai RM50.46 juta daripada 452.93 juta saham bernilai RM78.33 juta.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 455.13 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (146.98 juta), pembinaan (88.24 juta), teknologi (78.50 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (42.15 juta), hartanah (103.17 juta), perladangan (11.70 juta), REIT (14.88 juta), dana tertutup (158,500), tenaga (481.16 juta), penjagaan kesihatan (22.70 juta), telekomunikasi dan media (86.70 juta), pengangkutan dan logistik (35.96 juta) dan utiliti (15.17 juta). – MalaysiaGazette