Bertindak pantas merobohkan hotel milik Datuk Seri Jamal Md. Yunos tetapi lambat bertindak atas pusat pelacuran yang bertaburan di Selangor.
Itu kehairanan kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii.
“Alangkah indahnya jika premis judi dan rumah pelacuran haram yang bertaburan di sekitar Selangor dapat diambil tindakan pantas dan drastik sebegini.
“Tapi sayangnya premis haram tidak berlesen seperti di pekan Sekinchan dibiarkan saja oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau mengulas tindakan Majlis Daerah Sabak Bernam yang merobohkan Sekin Hotel & Resort milik Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar yang dikatakan ada motif dendam melibatkan tokoh pemimpin yang menerajui kerajaan negeri.
Dikatakan, pihak hotel berkenaan menerima notis sebelah pagi dan sebelah petang tindakan merobohkan premis itu sudah berjalan.
“Tindakan merobohkan premis milik beliau oleh Majlis Daerah Sabak Bernam dilihat umpama dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Bukankah sepatutnya pemilik premis diberikan notis beberapa hari sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
“Jika ianya melanggar undang-undang yang ditetapkan, penyelesaian secara berhemah perlu dilakukan dan bukannya dibuat mengikut telunjuk pihak tertentu.
“Apa yang terjadi sememangnya memelikkan kerana notis dihantar pagi, sebelah petangnya premis dirobohkan,” ujarnya lagi.
Menurut Mohd. Razlan, resort milik Jamal menjadi mangsa dendam kesumat kerajaan negeri setelah Jamal membangkitkan hak dan untung nasib warga Lembah Klang yang seringkali mengalami masalah air seakan-akan tidak berkesudahan.–MalaysiaGazette