KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia diminta memberi perhatian dan keprihatinan sewajarnya berhubung kes-kes kemalangan yang banyak membabitkan kakitangan kru pesawat yang sejak kebelakangan ini.
Campur tangan dua kementerian itu begitu diharapkan memandangkan syarikat-syarikat penerbangan didakwa tidak prihatin terhadap isu-isu seumpama tersebut.
Sedangkan kes-kes nahas membabitkan kru kabin telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan petugas-petugas itu.
Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mendakwa, kes-kes kemalangan itu kebanyakan berpunca daripada keletihan dan kelesuan kru kabin selepas bertugas dan syarikat penerbangan tidak lagi menyediakan kemudahan pengangkutan sejak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beroperasi.
Syarikat penerbangan menggunakan isu kos yang terpaksa ditanggung sebagai alasan meskipun mereka memerlukan khidmat para pekerja 24 jam sehari.
Pekerja pula ada yang menikmati elaun sebanyak RM200 sebulan, ada yang tidak, perlu berulang-alik ke tempat kerja.
Pekerja pula ada yang tidak dibayar dan ada yang dibayarkan elaun RM200 sebulan untuk menangung kos untuk pergi kerja.
Layanan syarikat penerbangan seperti ini sungguh tidak memadai apabila kru kabin terpaksa menaiki dan memandu kenderaan sendiri dan pulang dalam keadaan yang penat.
“Ramai pekerja merasa beban dengan bayaran elaun yang rendah dan dalam kepenatan terpaksa pula memandu untuk pulang.
“Isu ini lebih menekan kepada pekerja apabila mereka terpaksa memandu ulang alik ke KLIA tiap-tiap hari. Dari segi fizikal dan mental, banyak aspek ini harus dikaji semula yang boleh mengakibatkan kelesuan kepada pekerja.
“Kadang-kala pekerja ini pula dipanggil oleh syarikat mereka untuk terbang keluar negara dan masa untuk melaporkan diri di lapangan terbang amatlah terhad sekali. Ini menjadi tekanan besar kepada pekerja kami,” katanya.
Sekretariat NUFAM menambah, isu tentang keselamatan ini sudah lama dibangkitkan tetapi syarikat penerbangan masih gagal menyediakan kenderaan ke tempat kerja, walhal hal keselamatan pekerja harus diambil serius oleh semua syarikat penerbangan jika mahu pekerja bekerja dalam keadaan mental dan fizikal yang baik.
NUFAM berkata, beberapa bulan yang lalu NUFAM telah menerima beberapa laporan mengenai kes kemalangan melibatkan nyawa pemandu van di lapangan terbang dan juga kes samun dan cubaan mencabul seorang pramugari.
Ketika kemalangan tersebut berlaku ketika mangsa hendak pulang, keretanya telah bertembung dengan sebuah motosikal yang dipandu oleh seorang pramugara.
Dalam kejadian berasingan, seorang pramugari juga hampir disamun dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian tangan dan badan ketika memandu ke tempat kerja.
Sehubungan itu, NUFAM mahu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia membangkitkan isu keselamatan kaum pekerja terutama sekali kru kabin wanita ini diketengahkan semula.
NUFAM juga bercadang menyerahkan satu memorandum kepada pihak kementerian agar segera mengambil perhatian kepada isu keselamatan pekerja di semua syarikat penerbangan.
“Kilang pun menyediakan bas untuk pekerja mereka kerana ia menjadi satu tanggungjawab besar majikan buat pekerja yang sudah penat pulang dari shif lewat malam,” ujarnya sambil menyifatkan isu itu turut ada kaitan dengan keselamatan juruterbang.
NUFAM berkata, pihaknya bersedia untuk membawa isu kemalangan yang melibatkan pekerja pekerja di syarikat penerbangan kepada perhatian umum kerana nyawa pekerja harus diambil kira dan diberikan keutamaan oleh semua syarikat penerbangan. – MalaysiaGazette