Home Ekonomi Kereta nasional terbaharu dilancarkan Mac 2021

Kereta nasional terbaharu dilancarkan Mac 2021

Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE Sdn Bhd, Khairil Adri Adnan bercakap pada sidang media pengumuman Projek Kereta Nasional baharu di i-Tech Tower, Cyberjaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2019.

CYBERJAYA- Syarikat pengeluar kereta nasional terbaharu, DreamEDGE Sdn. Bhd. bakal melancarkan model pertamanya pada Mac 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Adri Adnan berkata, model pertama keluaran syarikat itu adalah kereta sedan hibrid untuk Segmen C.

Mereka juga akan mendapat sokongan teknologi dengan Daihatsu, katanya.

“Kami tidak menjalinkan usahasama dengan Daihatsu.

“Kami hanya mendapatkan sokongan daripada mereka dari segi teknologi malah akan membangunkan bersama beberapa teknologi untuk projek ini,” katanya semasa sidang media mengumumkan projek kereta nasional baharu di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan loT (MARii), Datuk Madani Sahari.

Menurut Khairil Adri, DreamEdge mengemukakan idea kereta nasional ketiga kepada kerajaan enam bulan lalu.

Tanpa mendedahkan kos sebenar projek tersebut, Khairil Adri berkata, ia mungkin menelan belanja sekitar beberapa ratus juta ringgit.

Dalam pada itu, Darell menegaskan, projek kereta nasional ketiga ini dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

Kerajaan bagaimanapun bersedia memberikan insentif-insentif yang bersesuaian bagi menyokong projek berkenaan.

“Kerajaan tidak akan mengeluarkan sebarang duit untuk projek ini tetapi jika mereka ada memohon sebarang insentif, kita akan membuat penilaian dan keputusan bagi membantu mereka,” katanya.

DreamEDGE mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang rekaan mekanikal dan proses kejuruteraan, minyak dan gas, pertahanan, pembinaan dan pembaikan kapal serta digital.-MalaysiaGazette

+ posts